Skip to main content

Dunia

Perikatan antarabangsa perangi jenayah telekomunikasi dan penipuan siber ditubuhkan

61719397319_TBCYBERSECURITYA.jpg
Penipuan telekomunikasi dan siber disifatkan sebagai cabaran global yang memerlukan kerjasama lebih kukuh di peringkat antarabangsa. - Gambar hiasan
Advertisement

LIANYUNGANG: Perikatan antarabangsa bagi memerangi jenayah telekomunikasi dan penipuan siber rentas sempadan ditubuhkan secara rasmi di Lianyungang, provinsi Jiangsu, timur China pada Khamis.

Persidangan sulung sempena penubuhan perikatan itu dihadiri wakil dari 46 negara pengasas, 34 negara pemerhati serta empat organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Polis Antarabangsa (Interpol).

Para peserta menerusi kenyataan bersama menyifatkan penipuan telekomunikasi dan siber sebagai cabaran global yang memerlukan kerjasama lebih kukuh di peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, penubuhan sebuah organisasi antara kerajaan yang lebih fokus, profesional, cekap dan berorientasikan tindakan berlandaskan konvensyen antarabangsa akan membantu menyelaraskan usaha untuk membanteras jenayah berkaitan, selain melindungi keselamatan serta hak dan kepentingan individu, entiti sah dan organisasi lain di seluruh dunia.

Ditubuhkan atas inisiatif China, perikatan berkenaan merupakan sebuah organisasi antara kerajaan dengan penyertaan agensi penguatkuasaan undang-undang dari negara terlibat.

-- BERNAMA-CMG

Must Watch Video

Advertisement