ISTANBUL: Menteri-menteri luar negara Arab akan bertemu di Muscat, ibu negara Oman, pada Isnin untuk menandatangani perjanjian bagi mewujudkan laluan perkapalan bersama Iran-Oman melalui Selat Hormuz, kata Presiden Iran Masoud Pezeshkian, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan.
"Minggu ini, pada Isnin, menteri-menteri luar negara Arab akan bertemu di Muscat untuk menandatangani perjanjian mewujudkan laluan bersama antara Oman dan Iran di Selat Hormuz serta memaklumkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa mengenai perjanjian itu," kata Pezeshkian dalam satu temu bual dengan penyiar India, India Today yang disiarkan pada Sabtu.
"Negara-negara yang wilayahnya digunakan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan serangan terhadap kami juga akan menghadiri mesyuarat ini," katanya.
Mengulas mengenai perang dengan AS dan tekanan ekonomi yang dikenakan terhadap Iran, Pezeshkian berkata Washington gagal mencapai objektifnya melalui tindakan ketenteraan dan oleh itu beralih kepada langkah ekonomi.
"Mereka tidak dapat mencapai objektif mereka melalui perang, sebab itu mereka beralih kepada tekanan ekonomi, tetapi kami tidak akan berhenti," katanya.
Mengenai sekatan tentera laut AS terhadap Iran, Presiden Iran itu berkata negaranya tidak bergantung sepenuhnya kepada laluan maritim.
"Laluan maritim sememangnya bukan sesuatu yang menjadi sandaran bagi kelangsungan hidup kami dan mereka juga tidak akan dapat mencapai matlamat dengan cara ini," katanya.
Pezeshkian berkata Iran akan membuka semula Selat Hormuz apabila AS menamatkan sekatan dan serangannya.
Pada Jumaat, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata Oman akan menjadi tuan rumah mesyuarat peringkat menteri serantau pada Isnin dengan penyertaan lapan negara yang bersempadan dengan Teluk.
Baqaei berkata mesyuarat itu akan membincangkan isu serantau serta hasil rundingan Iran-Oman mengenai penetapan laluan selamat bagi kapal komersial di Selat Hormuz.
Beliau berkata Iran sedang berusaha memastikan keselamatan di laluan perairan itu, namun menegaskan keselamatan kapal tidak dapat dijamin selagi sekatan tentera laut dan campur tangan ketenteraan AS berterusan.
Oman setakat ini belum mengesahkan mengenai mesyuarat pada Isnin itu.
Isnin lepas, Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran Mohsen Rezaei berkata perjanjian dengan Oman mengenai koridor baharu melalui Selat Hormuz akan ditandatangani dalam tempoh beberapa hari.
Rezaei berkata laluan masuk dan keluar koridor yang dicadangkan itu akan berada di bawah kawalan Iran.
-- BERNAMA-ANADOLU