PASIR MAS: Sebanyak 2,307.172 hektar petak padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), dikenal pasti sebagai kawasan terbiar berdasarkan pemetaan semula bagi 2026.
Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata daripada keseluruhan 25,891.105 hektar petak padi yang dikenal pasti menerusi Sistem Makgeospatial Padi KADA, sebanyak 23,098.202 hektar merupakan petak aktif manakala 485.731 hektar lagi dikategorikan sebagai petak pelbagai.
Beliau berkata Tumpat merekodkan keluasan petak terbiar tertinggi iaitu 775.839 hektar, diikuti Pasir Mas (520.104 hektar) dan Kota Bharu Selatan (359.408 hektar).
“Bagi taburan keseluruhan petak padi, Pasir Mas mencatatkan keluasan terbesar sebanyak 5,633.942 hektar, diikuti Bachok (5,183.851 hektar), Pasir Puteh (4,275.054 hektar), Tumpat (4,239.947 hektar), Kota Bharu Selatan (3,721.304 hektar) dan Kota Bharu Utara (2,837.007 hektar).
“Data ini penting untuk mengenal pasti kawasan berpotensi dipulihkan dan diaktifkan semula, berdasarkan kesesuaian teknikal serta keupayaan pengurusan,” katanya ketika berucap pada Program Turun Padang Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ke Bendang Belukar, di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, KADA mencadangkan data pemetaan 2026 dijadikan antara rujukan rasmi dalam perancangan pembangunan kawasan tanaman padi, bagi membolehkan penyelarasan bantuan, pemantauan status petak serta penetapan keutamaan intervensi, dilaksanakan dengan lebih tepat dan bersasar.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata KADA menerima kelulusan 18 projek pembangunan di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 2027, meliputi pembangunan infrastruktur pengairan, pemodenan kemudahan pertanian, peningkatan produktiviti dan pembangunan sosioekonomi pesawah.
“Antara projek utama ialah menaik taraf sistem pengairan tersier di KPA Selising 1, KPA Tendong, KPA Terbak A, KPA Limbat 2B, KPA Bachok Utara 2 dan KPA Peringat 2, selain kerja mendalamkan tali air, pembentukan semula tali air kedua di Skim Pengairan Kemubu, serta pembinaan dan penaiktarafan stesen pam KASA.
“Skop pembangunan lain merangkumi penggantian pam mudah alih, perolehan jentera pertanian, naik taraf sistem mekanikal dan elektrikal Stesen Pam Kemubu, peningkatan kesuburan tanah serta pembangunan tanah jerlus dan terbiar,” katanya.
Turut dirancang ialah Program Lestari 5 menerusi sawah berskala besar, peningkatan kecekapan pusat semaian benih di Tumpat dan Bachok serta pengembangan teknologi pintar dalam kalangan pesawah.
Khalid berkata sebanyak 194 urusan perolehan bernilai RM130.73 juta, dirancang bagi menyokong pelaksanaan projek berkenaan, melibatkan 15 tender bernilai RM116.43 juta, 31 sebut harga (RM10.96 juta) dan 148 pembelian terus (RM3.34 juta).
Bagaimanapun, pelaksanaan pembangunan itu berdepan cabaran termasuk peningkatan kos bahan binaan, musim tengkujuh, kompetensi perunding dan kontraktor serta pertindihan jadual pembinaan dengan musim penanaman padi, sekali gus memerlukan pemantauan prestasi dan pengurusan risiko yang lebih cekap.
Sementara itu, bagi Musim 1 2026, sebanyak 24,997.1 hektar atau 93.75 peratus daripada keseluruhan 26,664 hektar kawasan tanaman padi di bawah seliaan KADA telah ditanam, manakala baki 1,666.9 hektar masih belum ditanam.
Mengikut pecahan kawasan pentadbiran, beliau berkata Bachok mencatatkan pencapaian penanaman tertinggi sebanyak 99.51 peratus, diikuti Kota Bharu Utara (97.82 peratus), Kota Bharu Selatan (95.93 peratus), Pasir Puteh (95.02 peratus), Pasir Mas (91.61 peratus) dan Tumpat (83.75 peratus).
“Dari segi perkembangan tanaman, sebanyak 52 hektar berada pada peringkat vegetatif awal, 554 hektar pada peringkat vegetatif 31 hingga 50 hari dan 5,193 hektar pada peringkat vegetatif 51 hingga 79 hari.
Sebanyak 14,299 hektar lagi telah memasuki peringkat bunting, keluar tangkai atau masak.
“Setakat laporan berkenaan, 4,900 hektar telah selesai dituai, bersamaan 19.60 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman. Tiada kemusnahan tanaman direkodkan akibat banjir, kemarau mahupun angin, namun pemantauan cuaca dan pengurusan sumber air perlu terus diperkukuh, bagi mengurangkan risiko kehilangan hasil,” katanya.
Dalam pada itu, KADA mengambil perhatian terhadap isu pemutuan padi, khususnya berkaitan ketelusan proses penggredan dan kadar potongan yang dikenakan kepada pesawah.
-- BERNAMA