Skip to main content

Malaysia

Bukan sekadar ikut piawaian global, ASEAN perlu tentu acuan ESG sendiri - Arthur Kurup

Arthur menegaskan, langkah tersebut penting memandangkan landskap ekosistem, hutan hujan tropika dan marin di Asia Tenggara saling berkait merentasi sempadan geopolitik serantau. - Gambar fail/Bernama
Arthur menegaskan, langkah tersebut penting memandangkan landskap ekosistem, hutan hujan tropika dan marin di Asia Tenggara saling berkait merentasi sempadan geopolitik serantau. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN perlu menggembleng kesepakatan bagi menetapkan definisi dan piawaian kemampanan praktikal mereka sendiri, berbanding sekadar bertindak balas terhadap kerangka piawaian global yang ditetapkan pihak luar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan, langkah tersebut penting memandangkan landskap ekosistem, hutan hujan tropika dan marin di Asia Tenggara saling berkait merentasi sempadan geopolitik serantau.

Mengambil ibarat peribahasa Melayu 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat', beliau menjelaskan bahawa pengukuhan kerjasama rentas sempadan antara negara anggota bakal membentuk asas pasaran yang lebih adil dan mampan.

Advertisement

"Melalui penyelarasan pasaran menerusi piawaian tadbir urus persekitaran, sosial dan korporat (ESG) bersama, pertukaran kepakaran serta advokasi serantau, kita menghantar isyarat jelas bahawa rantau Asia Tenggara, khususnya ASEAN, tidak hanya mengikut piawaian global.

"Sebaliknya, kita sedang mendefinisikan apa yang dimaksudkan dengan kemampanan yang praktikal, inklusif dan berkesan mengikut konteks serta acuan rantau ini," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Asia ESG Positive Impact Awards anjuran Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC) bersama Star Media Group di ibu negara pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Star Media Group, Tan Sri Wong Foon Meng; Duta Besar Filipina ke Malaysia, Maria Angela Ponce; Pesuruhjaya Perdagangan Kedutaan Republik Indonesia, Aziza Rammana; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt; Ketua Pegawai Operasi Philippine Daily Inquirer, Rudyard Arbolado; dan Ketua Pegawai Eksekutif KG Media Indonesia, Andy Budiman.

Menyentuh komitmen kerajaan Malaysia, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kementeriannya sedang giat memperkasa ekosistem kawal selia dan dasar yang komprehensif bagi menyokong sektor swasta beralih kepada amalan hijau.

Ini termasuk pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi memastikan ketelusan dan integriti perdagangan kredit karbon, serta penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara.

Jelasnya, perundangan iklim baharu tersebut bakal menetapkan asas kawal selia bagi memacu sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050.

"Rangka kerja kawal selia dan dasar kerajaan hanya menetapkan asas permulaan. Pemacu perubahan sebenar adalah para pemimpin korporat yang menterjemahkan kerangka ini kepada pelaburan lestari, solusi hijau dan operasi mesra alam," ujarnya.

Dalam masa sama, Arthur turut mengingatkan pemain industri utama agar memastikan amalan kemampanan dilaksanakan secara inklusif dengan mengangkat rantaian bekalan masing-masing.

Langkah itu katanya amat kritikal bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), vendor tempatan serta komuniti setempat tidak tercicir dalam fasa peralihan ekonomi rendah karbon.

Must Watch Video

Advertisement