DUNIA
Pertemuan Putin-Trump dijadual bermula Jumaat: Pembantu Presiden Rusia

Perjumpaan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan bermula pada 11.30 pagi waktu tempatan di negeri Alaska, AS pada Jumaat. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Perjumpaan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan bermula pada 11.30 pagi waktu tempatan di negeri Alaska, AS pada Jumaat dengan perbincangan satu lawan satu turut diiringi jurubahasa, kata pembantu presiden Rusia, Yury Ushakov.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Ushakov memberitahu wartawan di Moscow pada Khamis yang mesyuarat itu akan diadakan di "sebuah fasiliti" di Pangkalan Tentera Udara Elmendorf-Richardson di Anchorage, Alaska.
"Ia akan bermula esok, 15 Ogos, kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan, dengan perbualan antara Vladimir Vladimirovich Putin dan Donald Trump. Mesyuarat ini akan diadakan secara tertutup, dengan kehadiran jurubahasa. Seterusnya, rundingan akan diteruskan bersama delegasi masing-masing dalam sesi sarapan kerja," katanya.
Ushakov berkata rundingan antara Putin dan Trump akan dilakukan secara seimbang, dengan lima anggota delegasi daripada setiap pihak. Delegasi Rusia akan terdiri daripada menteri luar, pertahanan dan kewangan serta ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia.Beliau berkata anggota delegasi Rusia termasuk Menteri Luar Sergey Lavrov, Penasihat Presiden bagi dasar luar, Yury Ushakov, Menteri Pertahanan Andrey Belousov, Menteri Kewangan Anton Siluanov dan Wakil Presiden bagi pelaburan dan kerjasama ekonomi antarabangsa, Kirill Dmitriev.
Ushakov menjelaskan yang bilangan peserta adalah terhad disebabkan "sifat perbincangan yang sensitif."
Komposisi delegasi AS juga ditentukan, namun Ushakov menyatakan yang lebih sesuai jika Washington sendiri yang mengumumkannya.
"Oleh itu, selain kedua-dua presiden, akan ada lima peserta tambahan dalam setiap delegasi. Sudah tentu, akan turut hadir kumpulan pakar yang bersedia memberikan bantuan," katanya.
Ushakov menegaskan yang isu utama sidang kemuncak antara Putin dan Trump adalah penyelesaian krisis Ukraine, namun isu lain juga akan dibincangkan.
"Mengenai agenda sidang kemuncak ini, saya rasa sudah jelas yang isu utama adalah penyelesaian krisis Ukraine, mengambil kira rundingan terdahulu di Kremlin pada 6 Ogos bersama Steve Witkoff, utusan khas presiden AS," katanya.
Delegasi juga dijangka bertukar pandangan mengenai pembangunan lanjut kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan ekonomi.
"Bidang ini mempunyai potensi besar tetapi, malangnya, masih belum diterokai sepenuhnya," kata Ushakov.
Beliau berkata isu lebih luas berkaitan keamanan dan keselamatan, serta persoalan antarabangsa dan serantau semasa yang mendesak, pasti akan turut disentuh.
Ushakov turut menyifatkan lokasi pertemuan itu sebagai "simbolik" kerana terletak berhampiran tanah perkuburan peringatan di mana sembilan juruterbang Soviet, dua askar dan dua orang awam dikebumikan -kesemuanya terkorban antara 1942 dan 1945 semasa pemindahan pesawat dari AS ke Soviet Union di bawah program Lend-Lease.
"Oleh itu, pertemuan ini akan berlangsung berhampiran lokasi bersejarah yang memperingati ikatan persaudaraan dalam peperangan antara negara kita, yang amat bermakna sempena ulang tahun ke-80 kemenangan ke atas Nazi Jerman dan tentera Jepun," katanya.
Selepas rundingan, Putin dan Trump dijangka mengadakan sidang media bersama, kata Ushakov.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami