NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pemimpin dunia mengambil tindakan baharu yang 'boleh dipercayai' untuk membendung perubahan iklim.

PBB memberi amaran usaha yang ditunjukkan setakat ini masih tidak mencukupi untuk mengelakkan malapetaka.

Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata, matlamat Perjanjian Iklim Paris untuk menghadkan pemanasan global pada 1.5 darjah Celcius dilihat sukar.

Ini kerana jurang antara pelepasan gas rumah hijau sebenar dan jumlah yang membolehkan sasaran itu dicapai terus meningkat.

Guterres menyalahkah kerajaan atas kegagalan ini dengan menyatakan pelan iklim negara-negara semakin berkurangan walaupun beliau mengakui terdapat usaha diambil untuk alihkan ekonomi global daripada bahan api fosil.

Justeru itu, ketua PBB itu menggesa semua negara membuat usaha tambahan bagi mengurangkan pelepasan karbon dekad ini selaras dengan matlamat 1.5 darjah Celcius dan memastikan sokongan kepada mereka yang memerlukan.

Guterres berikrar untuk tidak mengalah dalam mendesak kerajaan menghadapi ancaman tersebut dan merancang untuk mengadakan perhimpunan pemimpin pada September bagi membincangkan kaedah tangani perubahan iklim.