PESAKIT di Jabatan Kecemasan Hospital Princess ALexandria terpaksa menunggu kira-kira lima jam bagi mendapatkan rawatan gara-gara jururawat bertugas 'sibuk' melayati laman web percutian.

Insiden itu dilaporkan berlaku di sebuah hospital terkemuka di Harlow, Essex.

Aksi jururawat itu sempat dirakam pesakit yang berang kerana terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Video terbabit dimuat naik ke laman Facebook dengan kapsyen 'dikenal pasti di Harlow'.

"Berada di jabatan kecemasan selama lima jam dan jururawat pula sibuk menempah tempat percutian," dakwanya dipetik portal The Sun.co.uk.

Bagaimanapun di ruangan komen terdapat netizen yang cuba membela jururawat terbabit dengan menyatakan waktu kerja panjang memaksa jururawat terbabit berbuat demikian.

"Dengan waktu bekerja yang lama mungkin itu sahaja masa yang mereka ada untuk berbuat demikian.

"Mereka telah bekerja keras dan mereka layak untuk berehat," komen netizen lain.

Hospital terbabit kini direkodkan sebagai pemberi perkhidmatan terburuk bagi pesakit di England.

Dalam kenyataan balas, Hospital Princess Alexandria memaklumkan perkara itu telah diberi perhatian dan tindakan susulan akan diambil.