MIAMI: Sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut manakala lima lagi cedera selepas sebuah pesawat kargo Amazon Prime Air terbabas dari landasan dan merempuh beberapa kenderaan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Miami pada Ahad.
Datuk Bandar Miami-Dade County, Daniella Levine Cava, berkata pesawat Boeing 767-300 yang dikendalikan syarikat penerbangan kargo 21 Air bagi pihak Amazon itu baru tiba dari San Juan, Puerto Rico.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) mengesahkan satu pasukan penyiasat telah dihantar ke lokasi bagi menyiasat punca insiden berkenaan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pula memaklumkan bahawa Penerbangan 21 Air 7598 terbabas dari Landasan 30 sejurus selepas mendarat kira-kira jam 2 petang waktu tempatan.
Jurucakap Amazon, Kelly Nantel, berkata syarikat itu menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Data awal Flightradar24 menunjukkan pesawat itu masih bergerak pada kelajuan 209 kilometer sejam (km/j) ketika melepasi hujung landasan sebelum terbabas.
Pasukan Penyelamat Bomba Miami-Dade mengerahkan lebih 60 unit dan kira-kira 200 anggota ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran pesawat, mengawal kebocoran bahan api serta menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan yang dirempuh pesawat berkenaan.
Insiden itu turut memaksa pihak berkuasa mengenakan sekatan pergerakan udara sementara sebelum sekurang-kurangnya dua landasan dibuka semula beberapa jam kemudian.