SLUNJ: Pihak berkuasa Croatia mengesahkan pesawat ringan yang hilang daripada radar pada hujung minggu lalu telah ditemukan.

Pasukan mencari dan menyelamat menemukan pesawat Cessna 182 itu berhampiran Brocanac di tengah Croatia, pada Isnin.

Namun, malangnya kesemua empat individu di dalam pesawat itu telah meninggal dunia.

Menurut laporan media tempatan, mereka yang terkorban adalah seorang warga Switzerland, dua warga Jerman dan seorang warga Croatia.

Polis telah melancarkan siasatan terhadap nahas tersebut.

Pada Ahad, pesawat ringan itu hilang daripada radar sejurus berlepas dari pelabuhan laut Adriatik Split menuju ke Jerman.

Media tempatan melaporkan cuaca di kawasan itu buruk dan juruterbang menghantar isyarat meminta bantuan sebelum terhempas.