SURREY: Sebuah petting zoo yang penuh dengan kambing biri-biri di pusat pemberian vaksin merupakan antara beberapa tarikan yang disediakan oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom bagi menarik kanak-kanak dan remaja mendapatkan vaksin.

Kambing biri-biri Shetland yang dinamakan Lashes, Cumin, Coriander, Clove and Cardamom, menyambut kehadiran mereka mendapatkan vaksin di Kolej Nescot di Surrey, hujung minggu lepas.

Sama Ali, 14, mengakui fobia dengan jarum tetapi mahu mendapatkan vaksin untuk melindungi neneknya yang berusia 75 tahun.

Remaja itu berkata, biri-biri di petting zoo berkenaan itu sedikit sebanyak memberi ketenangan dan dia mengakui seronok dapat membelai haiwan.

Veronika Brosnan, 12, juga agak gementar untuk menerima suntikan itu, tetapi mengakui merasa lebih tenang selepas mendapatkannya.

"Seronok memberi makan biri-biri dan bermain dengan mereka, kerana saya bercita-cita mahu bekerja dengan haiwan apabila dewasa nanti," katanya seperti dipetik portal Metro UK.

"Kami mahu kanak-kanak dan remaja menghargai pengalaman ini tanpa rasa cemas dan takut," kata jururawat yang bertugas di pusat itu, Catherine Brown.

NHS UK memulakan program vaksinasi remaja berusia 12 sehingga 17 tahun pada tahun lalu, manakala program vaksin untuk kanak-kanak bermula bulan ini.