Phuket semak semula pengurusan sisa untuk pelancongan mampan

Phuket yang merupakan pulau terbesar di Thailand dan hab pelancongan utama, terkenal dengan pantainya dan kehidupan malam yang meriah, namun kini berdepan isu sampah. - Reuters
BANGKOK: Phuket, destinasi pelancongan utama Thailand, sedang menyemak semula sistem pengurusan sisanya sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pembangunan pelancongan mampan di seluruh wilayah tersebut.
Gabenor Phuket Nirat Phongsitthithavorn, yang mengetuai delegasi pada Khamis ke Hotel The Racha di Pulau Racha Yai untuk mempelajari amalan pengurusan sisanya, berkata model hotel berkenaan boleh dijadikan rujukan bagi premis serupa di seluruh Phuket, terutamanya di kawasan pelancongan popular.
Beliau berkata delegasi itu meninjau dua sistem utama di hotel berkenaan: sebuah relau pembakar yang mampu memproses kira-kira 800 kilogram (kg) sisa sehari, dan sistem biogas yang mengendalikan kira-kira 500kg setiap hari.
"Sistem ini membolehkan hotel menguruskan sisa dengan cekap dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, menjadikannya sangat sesuai untuk operasi pelancongan berasaskan pulau," katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web Jabatan Perhubungan Awam pada Khamis.
Nirat berkata Hotel The Racha juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, serta hotel dan perniagaan lain di pulau itu, untuk menangani pengurusan sisa dan air sisa.
Beliau berkata pendekatan yang diselaraskan itu merangkumi semua peringkat pengendalian sisa, termasuk pengumpulan, rawatan dan pelupusan, sekali gus membantu menjaga kebersihan pulau dan lebih bersedia untuk pertumbuhan pelancongan jangka panjang.
Gabenor itu berkata lawatan sambil belajar berkenaan menyediakan platform untuk pertukaran pengetahuan praktikal dan menekankan kepentingan mengguna pakai amalan alam sekitar yang berkesan di kawasan yang dipacu oleh pelancongan.
"Maklumat yang diperoleh daripada lawatan ini dijangka menyokong perancangan masa depan, seiring usaha Phuket menuju pengurusan pelancongan yang lebih bersih dan mampan," tambahnya.
Phuket merupakan pulau terbesar di Thailand dan hab pelancongan utama, terkenal dengan pantainya dan kehidupan malam yang meriah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


