DUNIA
Phumtham kemuka dekri diraja bubar Parlimen - Pheu Thai

Perdana Menteri sementara Phumtham Wechayachai (gambar) dilaporkan telah mengemukakan dekri diraja untuk pembubaran itu. - Foto Reuters
BANGKOK: Parti pemerintah Thailand, Pheu Thai pada Rabu mengesahkan akan membubarkan Dewan Perwakilan selepas gagal memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.
Ringkasan AI
- Parti Pheu Thai sahkan pembubaran Dewan Perwakilan selepas gagal mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu susulan sokongan Parti Rakyat kepada Anutin Charnvirakul.
- Dekri diraja telah dikemukakan oleh Perdana Menteri sementara, dan pengumuman rasmi akan dibuat oleh Phumtham Wechayachai dalam masa terdekat.
- Parti Rakyat menetapkan beberapa syarat sokongan, termasuk pembubaran Parlimen dalam empat bulan dan referendum pindaan perlembagaan, sementara landskap politik Thailand kekal tidak menentu selepas pemecatan Paetongtarn Shinawatra.
Tindakan itu dibuat susulan keputusan Parti Rakyat menyokong Ketua Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul sebagai perdana menteri.
"Selepas Parti Rakyat memutuskan untuk menyokong Anutin Charnvirakul, ketua Parti Bhumjaithai sebagai perdana menteri, ia menyebabkan Pheu Thai menjadi minoriti dan tidak dapat meneruskan pentadbiran," katanya kepada wartawan di parlimen pada Rabu.
Sorawong tidak memberikan butiran lanjut mengenai pembubaran itu, namun berkata Phumtham akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat.
"Phumtham telah menjalankan peranannya untuk melengkapkan proses ini dan beliau akan membuat pengumuman rasmi," kata beliau.
Langkah Pheu Thai itu dibuat selepas Ketua Parti Rakyat Natthaphong Ruengpanyawut pada Rabu mengumumkan bahawa partinya akan menyokong Anutin sebagai perdana menteri seterusnya.
Bagaimanapun, Natthaphong menjelaskan bahawa keputusan itu hanya akan berkuat kuasa setelah Anutin, selaku ketua Parti Bhumjaithai menandatangani perjanjian berkaitan syarat-syarat dan mengeluarkan kenyataan umum.
Antara syarat Parti Rakyat ialah pembubaran Parlimen dalam tempoh empat bulan; mengadakan referendum perlembagaan untuk meminda piagam dalam tempoh itu, Parti Bhumjaithai dan Parti Rakyat bersama-sama mendorong pindaan tambahan, Parti Bhumjaithai tidak mengambil tindakan bagi membolehkan ia membentuk kerajaan majoriti secara bersendirian serta Parti Rakyat kekal sebagai pembangkang tanpa sebarang ahlinya menyertai Kabinet dan sebagai menteri.
Dewan Perwakilan dijadual bersidang pada Khamis dan Jumaat untuk membahaskan pencalonan perdana menteri.
Lanskap politik Thailand kini berada dalam keadaan tidak menentu selepas Mahkamah Perlembagaan pada Jumaat lalu memecat Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, sekali gus membuka ruang kepada perebutan parlimen bagi mengisi kekosongan kepimpinan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami