TEHRAN: Pihak berkuasa Iran dilaporkan menahan seorang wartawan yang menemubual keluarga banduan yang dijatuhkan hukuman mati berhubung protes di negara itu.

Memetik laporan Arab News, akhbar reformis Etemad memaklumkan, seramai 14 warga Iran dijatuhkan hukuman mati berhubung tunjuk perasaan berikutan kematian Mahsa Amini dalam tahanan pada 16 September.

“Ketua perkhidmatan politik di Etemad Daily, Mehdi Beikoghli telah ditangkap malam tadi,” lapor Etemad di laman webnya.

Wartawan itu yang merupakan kakitangan baharu di unit berita yang telah ditangkap sebelum ini menemubual beberapa anggota keluarga individu yang dijatuhi hukuman mati selepas menyertai protes itu.

Sebelum ini, dua lelaki berumur 23 tahun telah dihukum bunuh bulan lalu selepas menyertai tunjuk perasaan yang digelar ‘rusuhan’ oleh pihak berkuasa Iran.

Menurut pengiraan AFP dalam satu kenyataan rasmi, 12 lagi individu telah dijatuhkan hukuman gantung manakala separuh sedang menunggu perbicaraan semula.

Kumpulan hak asasi warga asing mendakwa, puluhan lagi penunjuk perasaan turut berdepan pertuduhan yang boleh membawa hukuman mati.

“Isteri Mehdi menulis di Twitter telefon bimbit, komputer dan barangan peribadi dirampas semasa ditahan,” lapor Etemad.

Disember lalu, sebuah lagi akhbar reformis, Shargh melaporkan senarai hampir 40 orang wartawan dan wartawan gambar turut mempunyai kaitan dengan protes terdahulu.

Salah seorangnya ialah wartawan, Niloufar Hamedi bersama Elaheh Mohammadi dari akhbar Ham Mihan yang membuat laporan mengenai kes Amini dari hospital sehingga ke urusan pengebumiannya.

Badan keselamatan tertinggi Iran melaporkan bulan lalu lebih 200 orang, termasuk anggota pasukan keselamatan terbunuh sejak protes bermula.

Pihak berkuasa kehakiman turut mendakwa lebih 2,000 individu.