LAHAD DATU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lahad Datu mempertingkat pemantauan di kawasan perairan daerah ini termasuk daerah kecil Tungku susulan amaran tsunami yang dikeluarkan berikutan gempa bumi kuat yang berlaku di Mindanao, Filipina, pagi tadi.
Pengerusi JPBD Lahad Datu Firuz Izualdeen Mohd Dzul berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
“Setakat 10.37 pagi, keadaan di Lahad Datu masih terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
"Pasukan keselamatan juga telah diatur gerak ke beberapa lokasi strategik berhampiran kawasan pantai bagi memperkukuhkan pemantauan serta membolehkan tindakan awal diambil sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau turut memohon kerjasama pihak sekolah agar membenarkan ibu bapa membawa pulang anak-anak mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
"Pihak sekolah juga diharap dapat memastikan aspek keselamatan dan kebajikan murid yang masih berada di kawasan sekolah," katanya.
Firuz Izualdeen berkata penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pantai pula dinasihatkan agar berwaspada serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lahad Datu Leftenan Muda (PA) Mohd Fazleesham Eizwan Shah ketika ditemui Bernama berkata pemantauan risiko bencana tsunami bermula kira-kira 10.24 pagi tadi dan setakat ini keadaan perairan dalam keadaan terkawal.
"Terdapat beberapa kawasan yang berisiko tinggi ancaman tsunami termasuklah di Tungku, sekitar Felda Sahabat, Tanjung Labian dan Tambisan.
"Kawasan ini sangat hampir dengan Filipina dan kita pun berada dalam keadaan bersiap siaga," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Labian Montaha Saligaring ketika dihubungi Bernama berkata terdapat fenomena pelik yang sedang berlaku apabila air di sungai dan laut mengalir tidak seperti kebiasaannya.
"Hari ini air naik dan mengalir dari hilir ke hulu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata penduduk kampung telahpun mengambil pendekatan awal dengan mencari tempat perlindungan dan mencari kawasan tinggi sebagai tempat berlindung.
Satu kejadian gempa bumi bermagnitud 7.9 melanda Mindanao, Filipina pada 7.37 pagi tadi pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.
Berikutan itu, satu amaran tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara 10.30 pagi dan 12 tengah hari ini.
-- BERNAMA