Skip to main content

Malaysia

Jenazah lima sekeluarga nahas kemalangan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad

SUNGAI PETANI, 8 Jun -- Seorang ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika menyiram air mawar di di pusara lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan mebabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan sebuah lori di Pinang Tunggal, semalam.  Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Abidi, Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbok, pada pukul 10 pagi.  Jenazah terbabit adalah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29 dan isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, serta bayi lelaki
Seorang ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika menyiram air mawar di di pusara lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan mebabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan sebuah lori di Pinang Tunggal, semalam. - Foto Bernama

SUNGAI PETANI: Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan sebuah lori di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini semalam, selamat dikebumikan pagi tadi.

Kesemua jenazah dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Abidi, Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbok, pada 10 pagi.

Jenazah berkenaan ialah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, dan isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, serta bayi lelaki mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan, ibu kepada Ahmad Shafiq, iaitu Nora Mhd Husin, 55, dan adik Ahmad Shafiq, Ahmad Fahim, 21.

Terdahulu, jenazah kelima-lima mangsa nahas yang dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dengan empat van jenazah, tiba di pekarangan masjid berkenaan pada 8.45 pagi.

Jenazah kemudian disolatkan yang diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali dan disertai lebih 200 jemaah.

Sementara itu, jenazah seorang lagi mangsa nahas terbabit, Iskandar Affan Ibrahim, 7, yang merupakan anak saudara Ahmad Shafiq, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.50 petang semalam, kenderaan SUV Proton X50 yang dinaiki tujuh sekeluarga itu bertembung dengan sebuah lori muatan tanah.

Keluarga terbabit dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga mereka.

Nahas tersebut menyebabkan enam mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa, yang juga anak Ahmad Shafiq, Aulia Sofea, 3, cedera parah dan dirawat di hospital.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement