BANGKOK: Sejak hari pertama pendaftaran pencalonan dibuka pada Isnin, menyaksikan sejumlah 3,990 calon daripada 60 parti politik mendaftar untuk bertanding di 400 kawasan pada Pilihan Raya Umum Thailand pada 14 Mei.

Proses pendaftaran akan dibuka sehingga Jumaat dengan calon wakil parti masing-masing mendaftar bermula Selasa.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand, parti terbesar dalam gabungan pemerintah sekarang - Parti Palang Pracharat, parti politik tertua di Thailand, Parti Demokrat dan parti pembangkang Parti Pheu Thai dan Parti Move Forward meletakkan calon paling ramai - seramai 392 calon.

Parti Perdana Menteri Prayuth Chan 0-cha, United Thai Nation akan bertanding di 386 kerusi termasuk Prayuth yang akan bertanding semula manakala Parti Bhumjaithai (378), Seri Ruam Thai (377) dan Thai Sang Thai (325).

Terdapat 35 parti meletakkan kurang daripada 10 calon setiap satu manakala tujuh parti hanya meletakkan seorang calon setiap satu.

Sementara itu, bagi pendaftaran calon parti yang bermula hari ini, sebanyak 49 parti politik menyerahkan nama calon masing-masing kepada SPR.

Selepas pendaftaran hari ini, semua parti politik mendapat nombor yang akan dicetak pada kertas undi.

Bagi pilihan raya umum akan datang, 400 Ahli Parlimen dipilih melalui pilihan raya manakala 100 lagi terdiri daripada senarai calon parti yang diputuskan melalui perwakilan berkadar.

Hari mengundi ditetapkan pada 14 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

-- BERNAMA