NARATHIWAT: Pintu gerbang yang dihiasi indah dengan pelita buluh dan lampu LED, di laluan masuk masjid memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di empat wilayah selatan Thailand - Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla.

Suasana itu menjadi satu lagi tarikan unik sempena Syawal.

Pada raya pertama, penduduk kampung tidak melepaskan peluang bergambar di pintu gerbang itu.

Sejak tiga tahun lepas, sepanjang Ramadan penduduk kampung di keempat-empat wilayah selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam tanpa mengira usia bersemangat menghiasi pintu gerbang yang mengetengahkan idea kreatif masing-masing untuk memeriahkan lagi suasana raya.



Setiausaha Civil Society Assembly for Peace (CAP) Hasan Mohd Tola berkata tahun ini kira-kira 800 masjid menyertai pertandingan menghias pintu gerbang berbanding 350 masjid pada tahun lepas.

"Menghias pintu gerbang bukan sahaja dapat menghidupkan suasana ceria dan meriah sempena Aidilfitri malah ia dapat memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk tempatan.

"Selain itu, cetusan idea kreatif dalam kalangan penduduk dapat menyerlahkan lagi keunikan seni bina Melayu tradisional," katanya kepada Bernama.

Antara syarat pertandingan termasuk pintu gerbang wajib mempunyai lambang seni bina Islam dan seni ukir Melayu.

Pertandingan anjuran CAP, sebuah badan bukan kerajaan itu menawarkan wang tunai berjumlah 10,000 baht dan pakej pelancongan kepada pemenang.

-- BERNAMA