TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan tiba di sini malam ini akan berusaha memperkukuh hubungan dengan Jepun dan menarik lebih ramai pelabur dari negara itu ke Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany pada hari pertama lawatan kerja lima hari beliau ke negara itu, Anwar akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Fumio Kishida dan kedua-dua pemimpin dijangka mengumumkan perkongsian strategik yang komprehensif.

"Dalam gambaran yang lebih besar, usaha kedua-dua pemimpin juga akan menyumbang ke arah merapatkan lagi hubungan Jepun-ASEAN," katanya pada sidang akhbar untuk media Malaysia di sini.

Beliau berkata Anwar dan Kishida akan turut menyaksikan pemeteraian serta pertukaran nota Official Security Assistance Grant Aid selain pertukaran Memorandum Kerjasama mengenai pembangunan dan aplikasi angkasa lepas antara kedua-dua negara.

Semasa di Tokyo, Perdana Menteri akan menyertai pemimpin lain menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun pada Ahad dan Sidang Kemuncak Komuniti Pelepasan Sifar Karbon Asia yang dijangka membantu blok serantau itu menetapkan penanda aras dalam menguruskan pelepasan karbon.

Ketua Pengarah bagi Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di Kementerian Luar Datuk Zanariah Zainal Abidin pula berkata pada akhir sidang kemuncak peringatan itu, para pemimpin akan mengeluarkan kenyataan visi bersama.

Beliau berkata sepanjang sidang kemuncak bertema Golden Friendship, Golden Opportunities itu, satu pelan kerjasama strategik yang komprehensif akan dilancar untuk mengukuhkan lagi kerjasama ASEAN-Jepun.

Ketika ditanya mengenai isu yang mungkin dibangkitkan oleh Anwar pada sidang kemuncak peringatan itu, Zanariah tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri akan membawa isu Palestin di mana Malaysia mahu gencatan senjata kekal dilaksanakan.

Beliau berkata Anwar juga mungkin menyentuh isu pendigitalan di ASEAN di mana ia boleh membantu memperkasa perniagaan kecil dan meningkatkan kadar penembusan Internet di kawasan luar bandar di seluruh rantau itu.

Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka tiba di Tokyo pada 11.50 malam ini. Turut mengiringi beliau ke Tokyo ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

-- BERNAMA