DUNIA
PM India, Narendra Modi lakukan lawatan dua hari ke Jepun mulai 29 Ogos

Perdana Menteri India, Narendra Modi (kiri) akan mengadakan lawatan dua hari ke Jepun mulai 29 Ogos dan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Shigeru Ishiba. - Gambar fail Reuters
TOKYO: Perdana Menteri India, Narendra Modi akan mengadakan lawatan dua hari ke Jepun mulai 29 Ogos dan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Shigeru Ishiba, lapor agensi berita Kyodo memetik pengumuman Kerajaan Jepun pada Jumaat.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pengukuhan kerjasama dua hala dalam bidang seperti keselamatan ekonomi, menurut sumber yang rapat dengan perkara berkenaan.
Jepun sedang menimbangkan komitmen untuk meningkatkan pelaburan sektor swasta di India kepada 10 trilion yen (AS$68 bilion) dalam tempoh sedekad akan datang, berbanding sasaran semasa 5 trilion yen yang diumumkan pada 2022 bagi sektor awam dan swasta.
Sasaran baharu itu dijangka dimasukkan dalam dokumen hasil yang akan diterbitkan selepas sidang kemuncak berkenaan, menurut sumber berkenaan.Ishiba dan Modi juga dijadual melawat Wilayah Miyagi di timur laut Jepun, di mana mereka akan menyaksikan ujian kereta api shinkansen berkelajuan tinggi serta melawat sebuah pengeluar utama Jepun dalam peralatan pembuatan cip.
Hubungan Jepun dan India semakin erat sejak beberapa tahun kebelakangan ini di tengah-tengah kebimbangan yang meningkat di Indo-Pasifik terhadap pendirian China yang semakin tegas.
Kali terakhir Modi melawat Jepun pada 2023 bagi menghadiri sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Hiroshima.
Walaupun bukan anggota G7, India dijemput menghadiri perhimpunan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami