TOKYO: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Isnin mengambil pendirian bertentangan terhadap gesaan supaya rakyat negara itu mengehadkan penggunaan tenaga di tengah-tengah ketidaktentuan bekalan akibat perang di Asia Barat, lapor Agensi Berita Kyodo.
Beliau berkata demikian di parlimen bagi mengulas mengenai penutupan Selat Hormuz dalam perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb lepas. Situasi itu telah mendorong negara Asia lain yang kekurangan sumber untuk menggesa pengurangan penggunaan bahan api, memandangkan Jepun amat bergantung kepada Asia Barat bagi import minyak mentah.
Advertisement
"Saya tidak percaya aktiviti ekonomi atau sosial harus dihentikan buat masa ini," kata Takaichi bagi menjawab soalan daripada ahli parlimen pembangkang mengenai keperluan untuk melaksanakan langkah kecemasan dalam ekonomi.
Beliau berkata kerajaannya sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan minyak daripada sumber lain.
Antara negara Asia lain yang terjejas akibat penutupan selat itu termasuk Korea Selatan yang telah menggesa rakyatnya mengurangkan penggunaan tenaga, manakala Malaysia sedang mempromosikan dasar bekerja dari rumah untuk mengurangkan penggunaan.
Takaichi berkata, buat masa ini, beliau tidak melihat keperluan untuk merangka belanjawan tambahan selepas parlimen meluluskan belanjawan fiskal 2026 bernilai rekod 122.31 trilion yen (AS$768 bilion) pada awal April,kerana kerajaan mampu menggunakan dana rizab belanjawan itu jika perlu untuk bertindak balas terhadap situasi di Asia Barat. .
Perdana Menteri berkata bahawa ketidaktentuan di Asia Barat bermakna kerajaan akan "bersikap fleksibel dalam mengambil langkah yang perlu mengikut keadaan semasa."
-- BERNAMA-KYODO