Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menimbang untuk menangguhkan kenaikan cukai serta membubarkan parlimen bagi satu pilihan raya lebih awal pada Disember ini.

"Perdana Menteri sedang menimbang beberapa pilihan dan satu daripadanya ialah pilihan raya Dewan Perwakilan menjelang hujung tahun ini," lapor agensi berita Kyodo News yang memetik sumber anggota kerajaan yang tidak dinamakan.

Abe mungkin membubarkan dewan rendah itu seawal-awalnya pada 19 November ini, dua hari selepas pulang daripada sidang kemuncak G20 di Australia, lapor Kyodo memetik kenyataan pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan perdana menteri itu.

Agensi berita Jiji Press pula melaporkan Abe merancang untuk membubarkan parlimen itu minggu depan. Media lain pula melaporkan pilihan raya berkemungkinan diadakan pada 14 Disember. Menurut Jiji Press, 21 Disember juga mungkin satu lagi pilihan yang wajar.

Abe yang sedang menghadiri sidang kemuncak ASEAN di Myanmar perlu membuat keputusan segera sama ada menaikkan cukai jualan kepada 10 peratus pada tahun depan berbanding 8 peratus yang dikenakan sekarang.

Penasihat ekonominya menentang langkah itu ketika permintaan pengguna menurun selepas kenaikan pertama cukai daripada 5 peratus pada April lepas.

Pemerhati menjangkakan Abe akan menangguhkan kenaikan cukai kali kedua dan membubarkan parlimen bagi menguji mandat rakyat. Ini mungkin "helah politik," kata Minoru Morita, seorang penganalisis politik.

Abe berdepan beberapa cabaran besar tahun depan termasuk melancarkan semula reaktor nuklear yang tertangguh serta ulang tahun ke-70 kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua yang mungkin menyemarakkan semula ketegangan dengan negara jiran.

Abe "percaya LDP boleh menang besar sekali lagi sekiranya beliau membubarkan parlimen sekarang" selepas menangguhkan kenaikan cukai dan mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, kata Morita.

"Kem pembangkang telah berpecah dan mereka masih belum dapat membentuk satu pakatan pilihan raya," tambahnya. -- dpa