KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Nepal Balendra Shah dijadual berucap pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada 24 Sept ini, lapor The Kathmandu Post memetik jadual ucapan rasmi PBB.
Menurut akhbar harian berbahasa Inggeris negara itu, Shah dijangka berucap pada sebelah petang, sekali gus menandakan lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada 27 Mac.
Shah akan menghadiri perhimpunan tahunan pemimpin dunia itu ketika Nepal sedang berusaha mendapatkan sokongan antarabangsa susulan banjir yang mengakibatkan kemusnahan dan meragut lebih 1,300 nyawa serta menyebabkan ribuan lagi hilang.
Laporan itu menyatakan kerajaan pada awalnya merancang menghantar Menteri Luar Shisir Khanal untuk mengetuai delegasi Nepal ke UNGA.
Menurut akhbar itu, rancangan berkenaan diubah selepas bencana pada 26 Ogos di wilayah Himalaya utara Nepal apabila banjir yang dicetuskan oleh runtuhan glasier dan tanah runtuh melanda komuniti di sepanjang koridor Sungai Bhotekoshi dan Trishuli.
Memetik pegawai kerajaan, laporan itu menyatakan Shah memutuskan untuk hadir sendiri ke perhimpunan berkenaan bagi mengetengahkan skala bencana berkenaan dan mendapatkan bantuan antarabangsa untuk operasi menyelamat, bantuan kecemasan serta pembinaan semula.
Pejabat Perdana Menteri pada Khamis mengarahkan Kementerian Luar memulakan persediaan bagi lawatan itu selepas Shah memutuskan untuk mengetuai delegasi berkenaan, lapor akhbar Nepal itu.
Laporan penuh boleh diakses di https://kathmandupost.com/national/2026/09/05/nepal-pm-balendra-shah-to-address-un-general-assembly-on-september-24.
-- BERNAMA