ISLAMABAD: Perdana Menteri Nepal Balendra Shah menuntut keadilan iklim dan mencadangkan mekanisme serantau baharu membabitkan Nepal, India dan China bagi menangani risiko iklim yang semakin meningkat di seluruh Himalaya, lapor Anadolu Ajansi.
Berucap pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Khamis, Shah berkata bencana dahsyat bulan lepas yang menyaksikan banjir kilat seakan tsunami dicetuskan oleh runtuhan besar glasier di kawasan altitud tinggi menunjukkan bagaimana perubahan iklim menjejaskan kestabilan ekologi Himalaya.
Beliau berkata keadaan itu berlaku akibat pencairan permafrost, cerun gunung yang tidak stabil serta peningkatan risiko runtuhan ais dan batu, banjir serta tanah runtuh.
“Kami tidak mencetuskan krisis ini, namun kami terpaksa menanggung akibat yang amat besar,” katanya sambil memaklumkan Nepal menyumbang kurang 0.1 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global.
Bencana pada 26 Ogos itu mengorbankan lebih 1,400 orang, manakala ribuan lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa Nepal. Penilaian terkini menganggarkan kerugian ekonomi dan kerosakan fizikal mencecah berbilion dolar.
Shah mencadangkan penubuhan “Mekanisme Daya Tahan Iklim Himalaya” yang diterajui Nepal, India dan China bagi berkongsi data satelit serta kepakaran saintifik, memantau tasik glasier berbahaya, memperkukuh sistem amaran awal rentas sempadan dan menyelaras bantuan bencana.
“Biarlah Himalaya menjadi medan kerjasama antarabangsa dan bukannya kawasan yang maklumatnya terpisah-pisah,” katanya.
Shah turut menggesa negara kaya menyediakan lebih banyak pembiayaan iklim berasaskan geran, sambil berhujah bahawa mekanisme seperti Dana Kerugian dan Kerosakan serta Kemudahan Alam Sekitar Global masih tidak mencukupi.
“Keadilan iklim tidak boleh sekadar menjadi ungkapan indah dalam dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Nepal semakin meletakkan keadilan iklim sebagai antara agenda utama diplomasi antarabangsanya susulan bencana itu yang memusnahkan kediaman, jalan raya, sekolah serta infrastruktur hidroelektrik di beberapa daerah.
Shah berkata tindak balas antarabangsa perlu berteraskan enam prinsip, iaitu “bantuan, pemulihan dan pembinaan semula” serta “tanggungjawab, pampasan dan daya tahan.”
-- BERNAMA-ANADOLU