INTERNATIONAL
PM Sepanyol seru larangan penyertaan Israel dalam Eurovision, pertandingan antarabangsa

Merujuk kepada bagaimana Rusia segera dihalang daripada platform global seperti pertandingan sukan dan muzik, Perdana Menteri Sanchez mencadangkan standard yang sama harus diguna pakai terhadap Israel. - Gambar fail Reuters
GENEVA: Perdana Menteri Sepanyol pada Isnin menggesa supaya Israel dilarang daripada menyertai Eurovision dan pertandingan antarabangsa lain, dengan membandingkan tindakan terhadap Rusia berikutan perang di Ukraine dan menekankan keperluan konsistensi dalam mempertahankan hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.
"Komitmen Sepanyol terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia mesti berterusan dan konsisten di Eropah," kata Pedro Sanchez semasa pembentangan laporan mengenai sektor budaya dan kreatif Sepanyol.
Merujuk kepada bagaimana Rusia segera dihalang daripada platform global seperti pertandingan sukan dan muzik, Sanchez mencadangkan standard yang sama harus diguna pakai terhadap Israel, terutamanya berikutan peperangan yang sedang berlangsung di Gaza.
"Itulah sebabnya saya percaya tiada siapa yang terkejut apabila pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula tiga tahun lalu dan desakan supaya negara itu dikeluarkan daripada... pertandingan antarabangsa serta tidak dibenarkan menyertai - contohnya, seperti yang kita saksikan baru-baru ini hujung minggu lalu di Eurovision," katanya."Oleh itu, Israel juga tidak sepatutnya dibenarkan, kerana kita tidak boleh menerima dwistandard - walaupun dalam bidang budaya," tambahnya.
Sanchez mengakhiri dengan mesej solidariti kepada rakyat Palestin yang "menghadapi ketidakadilan peperangan dan pengeboman."
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami