BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menepis spekulasi mengenai rombakan Kabinet dalam masa terdekat walaupun timbul pelbagai khabar angin sejak kebelakangan ini.
Spekulasi itu tercetus selepas penangguhan Mesyuarat Kabinet Bergerak yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Phitsanulok, lapor Bangkok Post.
Anutin menjelaskan penangguhan tersebut dibuat susulan perkembangan semasa, khususnya ketegangan di kawasan sempadan Thailand-Kemboja.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada mana-mana menteri yang gagal menonjolkan prestasi dan pencapaian kementerian masing-masing kepada rakyat bahawa kedudukan mereka dalam Kabinet boleh terjejas.
"Jika anda seorang menteri yang dilupakan orang ramai, perdana menteri juga boleh melupakan anda.
"Jika saya sudah melupakan anda, maka tiada keperluan lagi untuk anda kekal dalam Kabinet," katanya ketika berucap di Government House.
Menurut beliau, beberapa menteri telah diberi peringatan sejak dua minggu lalu supaya mempergiat usaha komunikasi awam dan menjelaskan pencapaian kementerian masing-masing kepada rakyat.
Anutin berkata prestasi yang baik sahaja tidak mencukupi jika masyarakat tidak mengetahui hasil yang telah dicapai kerajaan.
Beliau turut mengakui aspek komunikasi merupakan antara kelemahan yang perlu ditambah baik bagi memastikan dasar, pencapaian dan manfaat yang dibawa kerajaan dapat difahami rakyat dengan lebih meluas.