LONDON: Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), Andy Burnham, berkata beliau bersedia menyuarakan pendirian berbeza terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekiranya langkah itu perlu bagi mempertahankan kepentingan nasional negaranya.
Kenyataan itu dibuat dalam temu bual bersama wartawan BBC, Laura Kuenssberg, yang disiarkan hari ini bagi mengulas hala tuju hubungan diplomatik antara London dan Washington.
Burnham berkata setiap pemimpin perlu mengutamakan kepentingan negara masing-masing dan tidak boleh menolak kemungkinan untuk menyuarakan pandangan yang berbeza daripada White House jika keadaan memerlukan.
“Seseorang perlu mempertahankan kepentingan nasional sendiri sebelum perkara lain. Itulah yang perlu dilakukan untuk menjalankan tugas ini dengan betul,” katanya.
Beliau turut mengambil pendekatan berhati-hati ketika ditanya mengenai hubungan dengan pentadbiran AS, termasuk isu perbelanjaan pertahanan Britain dan komitmennya kepada NATO.
Bagaimanapun, Burnham mendedahkan bahawa perbualan telefon pertamanya dengan Trump pada Isnin lalu berlangsung dengan baik dan menyifatkan pemimpin AS itu sebagai seorang yang ramah.
Apabila ditanya sebanyak dua kali sama ada beliau mempercayai Trump sebagai sekutu rapat, Burnham enggan memberikan jawapan secara langsung dan hanya berkata bahawa dunia sedang berubah dengan pantas.
Hubungan antara London dan Washington di bawah kepimpinan Burnham dijangka mengekalkan beberapa asas dasar luar era Keir Starmer.
Namun, tumpuan kerajaan Britain kini turut terarah kepada penyediaan belanjawan negara serta sasaran perbelanjaan pertahanan yang baharu.