KUALA LUMPUR: Kerjasama antarabangsa perlu diperkukuh bagi menangani krisis perumahan global yang menyaksikan kira-kira 3.4 bilion penduduk dunia berdepan pelbagai masalah berkaitan kediaman tidak sempurna, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga, yang juga Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), berkata lebih 1.16 bilion penduduk dunia tinggal di kawasan penempatan tidak formal termasuk kawasan setinggan, manakala 44 peratus penyewa di kawasan bandar terpaksa membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membayar sewa rumah.
"Kerajaan perlu memastikan perumahan bukan sahaja mampu milik dan selamat, malah mempunyai akses yang baik kepada pengangkutan awam, peluang pekerjaan serta dilengkapi kemudahan asas yang diperlukan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Sambutan Hari Bandar Sedunia 2026 Peringkat Global di Fuzhou, China, hari ini.
Sambutan bertemakan "Regenerating the City: Adequate Housing for All" (Penjanaan Semula Bandar: Perumahan Mencukupi untuk Semua) itu dianjurkan bersama oleh UN-Habitat, Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China, Kerajaan Wilayah Fujian serta Kerajaan Perbandaran Fuzhou.
Nga berkata usaha menangani krisis perumahan global tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan lebih banyak rumah semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira peningkatan kos perumahan yang terus membebankan isi rumah dan melebarkan jurang ketidaksamaan sosial.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan, organisasi antarabangsa dan sektor swasta memperkukuh kerjasama strategik dalam penyediaan perumahan mampu milik, pembangunan hijau serta penjanaan semula bandar secara mampan.
Berkongsi pengalaman Malaysia, Nga berkata kerajaan menyasarkan pembinaan satu juta rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035, selain berhasrat meletakkan negara dalam kelompok 10 negara terbaik dunia dari segi pemilikan rumah menjelang 2035.
Beliau berkata aspirasi Malaysia MADANI, agenda reformasi perumahan negara serta Dasar Perumahan Negara 2026-2035 merupakan antara inisiatif utama kerajaan bagi meningkatkan akses rakyat kepada perumahan dan menyokong pembangunan bandar mampan.
Nga turut mengetengahkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM60 bilion yang membantu 150,000 individu tanpa dokumen pendapatan konvensional mendapatkan akses kepada pembiayaan perumahan.
Nga berkata kejayaan sesebuah bandar tidak seharusnya diukur berdasarkan kehebatan bangunan pencakar langit atau skala pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya melalui tahap daya huni kawasan kejiranan, kualiti ruang awam, pemeliharaan alam sekitar serta peluang yang tersedia kepada penduduk.
Beliau berkata pembangunan perumahan juga perlu memenuhi keperluan masyarakat pada setiap peringkat kehidupan, daripada kanak-kanak hingga warga emas, manakala usaha penjanaan semula bandar perlu menyokong tindakan menangani perubahan iklim melalui penggunaan teknologi cekap tenaga dan peluasan kawasan hijau.
Menurutnya, Malaysia turut menggalakkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) serta pembaharuan bandar berdaya tahan iklim sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan komuniti yang lebih mampan.
"Dasar tanpa pelaksanaan hanyalah niat yang baik, manakala visi tanpa tindakan sekadar impian," katanya sambil menggesa pemimpin dunia menterjemahkan komitmen antarabangsa kepada tindakan nyata yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
-- BERNAMA