Skip to main content

Malaysia

China sedia untuk kerjasama lebih erat dengan Malaysia - Xi Jinping

Xi berkata China dan Malaysia perlu mengekalkan komunikasi strategik peringkat tinggi serta saling menyokong dalam melindungi kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan masing-masing. - Foto BERNAMA
Xi berkata China dan Malaysia perlu mengekalkan komunikasi strategik peringkat tinggi serta saling menyokong dalam melindungi kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan masing-masing. - Foto BERNAMA
Advertisement

SHENZHEN: China bersedia memupuk momentum ke arah kerjasama yang lebih erat dengan Malaysia bagi membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, kata Presiden Xi Jinping pada Jumaat.

Menurut agensi berita Xinhua, Presiden Xi berkata hubungan China-Malaysia mengekalkan perkembangan pada tahap tinggi sejak kedua-dua pihak mencapai kata sepakat penting mengenai pembinaan komuniti strategik China-Malaysia peringkat tinggi dengan masa depan bersama, sekali gus menandakan bermulanya era baharu "50 Tahun Keemasan" bagi hubungan dua hala pada April tahun lepas.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Shenzhen, Wilayah Guangdong di selatan China.

Advertisement

Pada pertemuan itu, Xi berkata China dan Malaysia perlu mengekalkan komunikasi strategik peringkat tinggi serta saling menyokong dalam melindungi kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan masing-masing.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga perlu memastikan pembangunan dan pengoperasian projek utama yang berkualiti tinggi, memperluas serta meningkatkan perdagangan produk pertanian dan memperluas kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan serta sektor lain.

Advertisement

Xi turut menyeru usaha bersama untuk memajukan pembaharuan tadbir urus global, memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dalam kerangka pelbagai hala seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta melindungi kepentingan bersama negara-negara membangun.

Anwar menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 yang berlangsung dari Rabu hingga Khamis di Shenzhen.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement