Ringkasan AI
- Bantuan disesuaikan keperluan penerima memberi impak besar kepada pelajar dan usahawan wanita, meliputi sumbangan kewangan serta peralatan pembelajaran dan perniagaan.
- Seramai 10 usahawan wanita dan 11 pelajar India menerima sumbangan melalui kerjasama MITRA dan Kolej Komuniti Bukit Beruang di Hang Tuah Jaya.
- Program ini juga membuka peluang kepada peniaga untuk mendapatkan bantuan susulan melalui Pusat Khidmat Parlimen Hang Tuah Jaya.
MELAKA: Bantuan yang disesuaikan dengan keperluan penerima mampu memberi impak lebih besar dalam membantu golongan pelajar dan usahawan wanita, khususnya daripada aspek pendidikan dan kelangsungan perniagaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata pendekatan itu dilihat berjaya meringankan kos yang ditanggung memandangkan ia bukan sekadar tertumpu kepada sumbangan kewangan tetapi merangkumi peralatan yang bersesuaian.
“Sebagai contoh, bagi pelajar kami bukan hanya membantu dalam aspek yuran pengajian tetapi turut berkaitan pembelajaran mereka seperti komputer riba atau bahan pembelajaran manakala bagi peniaga pula, kami berikan sumbangan seperti peralatan untuk tujuan menyokong perniagaan dan usaha-usaha yang sedang mereka lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Projek Bina Belia MADANI Hang Tuah Jaya Edisi Usahawanita dan Belia Berkemahiran di Kolej Komuniti Bukit Beruang di sini pada Sabtu.
Pada majlis itu, 10 usahawan wanita dan 11 pelajar daripada masyarakat India menerima sumbangan menerusi kerjasama dengan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Kolej Komuniti Bukit Beruang.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata usahawan wanita India dari sekitar kawasan Parlimen itu menerima sumbangan kewangan serta peralatan mengikut jenis perniagaan masing-masing, antaranya peralatan memasak dan khemah manakala pelajar kolej berkenaan menerima bantuan yuran pengajian serta kelengkapan pembelajaran bagi bidang seperti automotif dan kulinari.
“Sebab kadang-kadang peralatan ini agak mahal. Jadi, apabila kami usahakan, ia mendapat sokongan daripada MITRA agar dapat mengurangkan beban kos mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata program yang menyasarkan 21 keluarga itu turut membuka ruang kepada peniaga untuk berhubung dengan Pusat Khidmat Parlimen Hang Tuah Jaya sekiranya memerlukan bantuan susulan.
“Sudah tentu selepas ini akan ada usaha yang dijalankan bagi memastikan golongan peniaga kecil, SME dan sebagainya yang memerlukan sokongan dapat dibantu lagi,” katanya.
-- BERNAMA