Polis Norway siasat diplomat susulan kaitan dengan Epstein

Kementerian Luar Norway berkata hubungan Juul dengan Epstein mencerminkan “kesilapan pertimbangan yang serius”, sambil menegaskan kemunculan nama dalam fail tidak semestinya menunjukkan salah laku. - Foto fail/AP
OSLO: Polis Norway membuka siasatan terhadap seorang diplomat kanan dan suaminya berhubung kaitan mereka dengan pesalah seks mendiang Jeffrey Epstein, lapor BBC.
Siasatan itu melibatkan Mona Juul, yang meletakkan jawatan sebagai duta ke Jordan dan Iraq pada Ahad, beberapa hari selepas digantung susulan laporan media tempatan mengenai dakwaan wasiat Epstein yang memperuntukkan AS$5 juta kepada setiap anaknya.
E-mel dalam fail Epstein turut menunjukkan suami Juul, Terje Rød-Larsen, didakwa makan malam bersama Epstein di Paris pada Jun 2019, beberapa minggu sebelum penahanan Epstein di AS atas tuduhan pemerdagangan seks.
Unit jenayah ekonomi Norway, Okokrim, memaklumkan siasatan berkaitan “rasuah berat” telah dilancarkan, termasuk meneliti sama ada sebarang manfaat diterima berkaitan jawatan Juul. Sebuah hartanah di Oslo turut digeledah.
Peguam Juul menegaskan beliau tidak mengiktiraf dakwaan terhadapnya, manakala peguam Rod-Larsen menyatakan keyakinan siasatan akan membuktikan tiada asas liabiliti jenayah.
Kementerian Luar Norway berkata hubungan Juul dengan Epstein mencerminkan “kesilapan pertimbangan yang serius”, sambil menegaskan kemunculan nama dalam fail tidak semestinya menunjukkan salah laku.
Dokumen Epstein yang lebih luas, dikeluarkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) bulan lalu, mengandungi berjuta-juta e-mel dan laporan siasatan, dan telah menarik beberapa tokoh Norway lain ke dalam skandal yang semakin melebar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


