Skip to main content

Malaysia

PRN Sarawak: Subsidi baja, benih antara keperluan peniaga kecil Betong

Peniaga kecil di Pasar Tamu Betong memohon subsidi baja, benih serta bantuan peti sejuk dan simpanan ais bagi mengurangkan kos serta meningkatkan kapasiti perniagaan. - Foto TVS
Peniaga kecil di Pasar Tamu Betong memohon subsidi baja, benih serta bantuan peti sejuk dan simpanan ais bagi mengurangkan kos serta meningkatkan kapasiti perniagaan. - Foto TVS

Ringkasan AI

  • Peniaga kecil di Pasar Tamu Betong memohon bantuan bersasar seperti subsidi baja, benih dan peralatan perniagaan bagi mengurangkan kos operasi.
  • Peniaga makanan basah dan ikan masin berharap kerajaan menyediakan peti sejuk beku untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan stok jualan mereka.
  • Bantuan mengikut keperluan peniaga dilihat penting untuk menyokong kelangsungan ekonomi dan meningkatkan kapasiti perniagaan kecil di kawasan tersebut.
Advertisement

BETONG: Peniaga kecil di Pasar Tamu Betong berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan bersasar termasuk subsidi baja dan benih serta peralatan perniagaan bagi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

Antara keperluan yang diketengahkan ialah bantuan peti sejuk beku untuk peniaga makanan basah dan ikan masin, selain subsidi input pertanian bagi membantu pengusaha sayur tempatan menampung kos penanaman.

Peniaga sayur, Mayan Anggar berkata, beliau mengusahakan sendiri tanaman sayur untuk dijual terus kepada pelanggan tanpa melalui orang tengah bagi menawarkan harga berpatutan.

Advertisement

Bagaimanapun, kos pembelian benih dan baja perlu ditanggung sendiri tanpa menerima sebarang bantuan atau subsidi pertanian.

“Benih sayur pun saya beli sendiri. Saya tiada minta bantuan daripada kerajaan sebab saya tidak pasti ada bantuan atau tidak, nanti kalau saya minta mereka kata tiada, jadi saya beli baja sendiri tanpa subsidi,” katanya.

Advertisement

Sementara itu, peniaga makanan basah, Mohammad Chi berkata, permintaan terhadap jualan ayam tua meningkat, terutama pada hujung minggu dan hujung bulan, namun kapasiti peti simpanan sedia ada mengehadkan jumlah stok yang boleh disediakan.

Beliau berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan peti simpanan ais baharu bagi membolehkannya menyimpan lebih banyak stok sekali gus memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya berharap kerajaan memberi bantuan dari segi penyimpanan stok seperti peti simpanan ais yang baharu supaya saya dapat simpan lebih banyak ayam, sebab sekarang ini hanya mampu simpan dua puluh hingga tiga puluh ekor dalam peti kecil itu, jadi kena pandai pandai,” ujarnya.

Bagi peniaga ikan masin, Francisca Ijo Chang yang mengusahakan dua gerai di Betong dan Spaoh pula berharap bantuan peti sejuk dapat disediakan bagi memudahkan penyimpanan stok jualan.

Beliau turut berharap keadaan ekonomi setempat dapat dipertingkatkan bagi membantu kelangsungan perniagaan kecil.

“Minta supaya ekonomi lebih baik. Saya ada satu gerai di Spaoh dan satu di sini. Saya mahu minta peti sejuk satu untuk menyimpan ikan sebab sekarang saya tiada,” katanya.

Penyediaan bantuan mengikut keperluan peniaga dilihat penting bagi mengurangkan beban kos operasi, meningkatkan kapasiti perniagaan serta menyokong kelangsungan ekonomi peniaga kecil di Pasar Tamu Betong. - TVS

 

Must Watch Video

Advertisement