NEW DELHI: Polis mengambil tindakan terhadap penyokong bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan dan pemimpin parti Tehreek-e-Insaf (PTI), bagi menghalang protes besar-besaran yang dirancang diadakan di Islamabad.

Perarakan "Haqiqi Azadi" (perarakan untuk kebebasan sebenar) yang dirancang diadakan pada Rabu memberikan tamparan hebat kepada kerajaan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, yang baru berusia enam minggu selepas Imran disingkirkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen.

Pada Isnin, polis di beberapa bandar di wilayah Punjab menyerbu rumah pemimpin parti PTI termasuk rumah bekas menteri Hammad Azhar di Lahore.

Menurut media tempatan, tindakan polis itu susulan mesyuarat Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) yang memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap penyokong Imran dan menolak desakan supaya pilihan raya baharu diadakan.

Mesyuarat itu turut disertai Nawaz Sharif secara maya. Bekas perdana menteri itu kini tinggal dalam buangan di London.

"Bantahan secara aman adalah hak semua rakyat. Tindakan keras terhadap pemimpin dan petugas PTI di Punjab dan Islamabad sekali lagi menunjukkan kepada kita -- sikap fasis PMLN ketika mempunyai kuasa," ciap Imran di Twitternya pada Isnin.

Beliau turut mengkritik pihak tentera yang sebelum ini diharapkan dapat kekal "neutral" dalam usahanya menentang "kerajaan import".

Ramai pemimpin PTI, termasuk bekas menteri Zartaj Gul Wazir, Fawad Chaudhry, Farrukh Habib, dan bekas speaker Dewan Negara Asad Qaiser, berikrar untuk memastikan protes di Islamabad tetap diteruskan.

"Kerajaan import telah menggunakan taktik murah," kata Zartaj.

Beliau berkata polis juga telah menceroboh privasi rakyat.

Presiden PTI Punjab Shafqat Mahmood berkata tindakan yang dikenakan ke atas mereka sama sekali tidak akan menghalang semangat patriotik rakyat untuk memperjuangkan kebenaran.

Konfrontasi antara kerajaan baharu dan penyokong Imran kemungkinan boleh mencetuskan lebih banyak masalah ekonomi kepada Pakistan yang ketika ini sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan dana.

-- BERNAMA