Skip to main content

Dunia

Polis Thailand tahan lelaki bantu siasatan pengeboman cederakan dua rakyat Malaysia

Polis Thailand, pengeboman, lebuh raya 42, kampung Phrai Wan,Narathiwat. cred awani
Menurut pihak berkuasa, operasi tersebut dijalankan di bawah undang-undang tentera susulan maklumat risikan yang menunjukkan lelaki berkenaan mungkin terlibat atau mempunyai maklumat berkaitan insiden pengeboman itu. -Foto Astro AWANI
Advertisement

NARATHIWAT: Polis Thailand menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian pengeboman di Lebuhraya 42 berhampiran daerah Tak Bai, Narathiwat pada akhir bulan lalu yang mengakibatkan dua rakyat Malaysia cedera parah.

Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Tak Bai menjalankan operasi pemeriksaan di sebuah kediaman di Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai, Narathiwat pada 1 Julai lalu.

Operasi itu turut melibatkan anggota Bahagian Marin (Kem Chulaphorn), pegawai pentadbiran, pasukan Pelupusan Bahan Letupan (EOD) dan unit anjing pengesan tentera.

Image
Polis Thailand, pengeboman, lebuh raya 42, kampung Phrai Wan,Narathiwat. cred awani

Menurut pihak berkuasa, operasi tersebut dijalankan di bawah undang-undang tentera susulan maklumat risikan yang menunjukkan lelaki berkenaan mungkin terlibat atau mempunyai maklumat berkaitan insiden pengeboman itu.

"Hasil pemeriksaan di kediaman tersebut menemukan pelbagai barangan termasuk lebih 10 utas jam tangan, peralatan, komponen ekzos motosikal serta sejumlah besar guni berisi pelbagai jenis barangan.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap penemuan barangan tersebut," menurut kenyataan yang diterima Astro AWANI pada Jumaat.

Image
Polis Thailand, pengeboman, lebuh raya 42, kampung Phrai Wan,Narathiwat. cred awani

Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan dan dibawa ke pusat soal siasat di Rejimen Renjer Ke-46 di Daerah Mueang Narathiwat untuk siasatan lanjut.

"Sekiranya tiada bukti yang mengaitkan lelaki berkenaan dengan kejadian itu, dia akan dibebaskan," menurut kenyataan itu lagi.

Dalam kejadian pada 29 Jun lalu di Jalan Sapom-Tak Bai, Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai, suspek dipercayai menyasarkan anggota Kor Sukarelawan Pertahanan (Or Sor) yang sedang dalam perjalanan pulang selepas melaksanakan tugas menghantar anggota ke latihan penyegaran di Mukim Tha Sap, Daerah Mueang Yala.

Bagaimanapun, bom yang diaktifkan secara kawalan jauh itu tersasar daripada sasaran asal dan mengakibatkan dua rakyat Malaysia cedera parah.

Mangsa dikenal pasti sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dari Kelantan dan Muhammad Yusri Udin, 38, dari Sabah.

 

Must Watch Video

Advertisement