Presiden Forum Ekonomi Dunia ramal gelembung AI dan mata wang kripto

Brende berkata pelabur perlu bersabar dengan pelaburan sedemikian, namun menegaskan yang teknologi termaju akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu. - Gambar Facebook Børge Brende
BERLIN: Pelaburan besar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan mata wang kripto boleh menyebabkan berlakunya pembentukan gelembung ekonomi, menurut Presiden Forum Ekonomi Dunia (WEF) Borge Brende, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Terdapat gangguan geopolitik yang nyata... Namun, dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik ini, ekonomi global masih menunjukkan ketahanan luar biasa bukan semestinya di Eropah tetapi di India, China, dan Amerika Syarikat," katanya kepada dpa di Berlin.
Beliau berkata keadaan ini didorong oleh pelaburan dalam teknologi baharu seperti AI.
"Tahun ini sahaja, sebanyak US$500 bilion dilaburkan dalam AI. Jadi, apa yang kita bimbangkan ialah kemungkinan wujudnya gelembung, sama ada gelembung kripto atau gelembung AI," kata Brende.
Presiden WEF itu berkata pelabur perlu bersabar dengan pelaburan sedemikian, namun menegaskan yang teknologi termaju akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu.
"Kita juga perlu memastikan manfaat teknologi baharu ini dapat dirasai secara menyeluruh. Kita mungkin menyaksikan peningkatan produktiviti sebanyak 10 peratus dalam dekad akan datang dan produktiviti bermakna kemakmuran," katanya.
Beliau menggambarkan teknologi baharu sebagai "peralihan paradigma besar" dan meramalkan kemajuan besar dalam bidang perubatan, biologi sintetik, angkasa lepas dan tenaga. "AI boleh mempercepat proses dengan begitu pantas," katanya.
Brende, yang berasal dari Norway, mengambil alih jawatan daripada pengasas WEF, Klaus Schwab. Forum itu mengadakan persidangan tahunan di Davos, Alps Switzerland, yang dihadiri pemimpin politik dan ekonomi dunia. Persidangan ke-56 dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 23 Jan 2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


