INTERNATIONAL
Presiden Iran gerakkan sumber ekoran letupan ragut 25 nyawa, cederakan lebih 1,100 orang

Operasi mencari dan menyelamat di Pelabuhan Shahid Rajaee masih diteruskan, manakala beberapa mangsa yang cedera parah dipindahkan ke Tehran untuk rawatan pakar. - AP
TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengarahkan pengerahan sumber sepenuhnya untuk menguruskan kesan letupan kuat di Pelabuhan Shahid Rajaee di selatan Iran yang mengorbankan 25 orang, menyebabkan enam masih hilang dan mencederakan lebih 1,100 orang, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Dalam satu kenyataan, Pezeshkian mengarahkan Menteri Dalam Negeri Eskandar Momeni untuk mengawal situasi kritikal, memastikan keselamatan kawasan terbabit dan mempercepatkan usaha pemulihan bagi membuka semula pelabuhan strategik itu.
Terdahulu, presiden menghubungi Momeni yang berada di lokasi untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat.
Jurucakap pentadbiran, Fatemeh Mohajerani berkata keadaan kini terkawal dengan sebahagian besar kebakaran berjaya dipadamkan. Beliau berkata kira-kira 20 peratus kebakaran masih aktif dan usaha sedang diteruskan untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.Mohajerani turut memaklumkan, seramai 1,139 individu mendapatkan rawatan perubatan selepas letupan itu, dengan beberapa pesakit kritikal dipindahkan ke Shiraz dan Larestan untuk rawatan lanjut.
Menteri Kesihatan dan Pendidikan Perubatan Mohammad-Reza Zafarghandi berkata tindakan segera termasuk penyediaan bekalan darah, peralatan perubatan dan pengaktifan kemudahan rawatan kecemasan membantu menstabilkan keadaan.
Beliau berkata beberapa kementerian bersedia untuk memindahkan pesakit ke wilayah lain sekiranya perlu bagi memastikan rawatan berterusan.
Sementara itu, Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Pir-Hossein Kolivand melaporkan 300 mangsa cedera kini menerima rawatan di hospital di Bandar Abbas, dengan ramai dijangka keluar hospital dalam masa terdekat.
Kolivand berkata operasi mencari dan menyelamat di Pelabuhan Shahid Rajaee masih diteruskan, manakala beberapa mangsa yang cedera parah dipindahkan ke Tehran untuk rawatan pakar.
Letupan yang berlaku pada Sabtu itu menyebabkan kerosakan besar di beberapa bahagian pelabuhan, namun pegawai sebelum ini memaklumkan yang sistem kastam dan operasi tidak mengalami gangguan serius.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami