DUNIA
Presiden Mahmoud Abbas puji Deklarasi New York, anggap langkah bersejarah ke arah keamanan

Mahmoud Abbas memuji pendirian berani negara-negara sahabat itu yang menzahirkan komitmen mereka terhadap visi penyelesaian dua negara dan keamanan berasaskan undang-undang antarabangsa. - AP
RAMALLAH: Presiden Mahmoud Abbas menzahirkan penghargaan tinggi beliau dan mengalu-alukan Deklarasi New York yang dikeluarkan oleh Menteri-Menteri Luar 15 negara, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Deklarasi itu menegaskan pengiktirafan mereka terhadap Negara Palestin serta menyeru negara-negara lain yang belum berbuat demikian agar turut mengiktiraf Palestin.
Negara-negara berkenaan ialah Andorra, Australia, Kanada, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Luxembourg, Malta, New Zealand, Norway, Portugal, San Marino, Slovenia dan Sepanyol.
Presiden Abbas memuji pendirian berani negara-negara sahabat itu yang menzahirkan komitmen mereka terhadap visi penyelesaian dua negara dan keamanan berasaskan undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan. Beliau turut mengulangi komitmennya terhadap segala ikrar yang telah dibuat bagi melaksanakan perkara itu.Presiden Palestin itu menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap Negara Palestin oleh negara-negara berkenaan, atau kenyataan hasrat positif mereka untuk berbuat demikian, merupakan satu langkah bersejarah ke arah mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh, serta memperkukuh usaha antarabangsa untuk menamatkan pendudukan Israel dan menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Abbas turut menyeru negara-negara lain agar menyertai seruan ini dan membantu menggerakkan proses politik berasaskan penyelesaian dua negara bagi menjamin keselamatan dan kestabilan untuk semua rakyat di rantau ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami