DUNIA
Presiden Mexico salahkan dasar migrasi AS punca kiriman wang merosot

Sheinbaum berkata kiriman wang merosot 16 peratus dari Jun ke Julai dan setakat 2025 menurun kira-kira lima peratus, kembali ke paras 2022. - Reuters
MEXICO CITY: Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Jumaat berkata dasar migrasi Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab terhadap penurunan kiriman wang pada Julai yang dihantar pulang rakyat Mexico di AS, lapor Xinhua.
Sheinbaum berkata kiriman wang merosot 16 peratus dari Jun ke Julai dan setakat 2025 menurun kira-kira lima peratus, kembali ke paras 2022.
"Kiriman wang meningkat dengan ketara pada 2023 dan lebih tinggi lagi pada 2024. Kini ia berada pada tahap yang sama seperti 2022," katanya pada sidang akhbar harian di Mexico City.
"Apa penjelasannya? Terutama sekali dasar yang dikenakan AS terhadap saudara-saudara migran kita," katanya.Sheinbaum berkata kerajaan pimpinannya bersama bank pusat Mexico sedang menilai kesan penurunan kiriman wang itu serta mempertimbangkan langkah melindungi keluarga Mexico yang bergantung kepada dana tersebut.
Beliau menegaskan keadaan itu tidak menjejaskan ekonomi keseluruhan Mexico.
AS dijangka mengenakan cukai satu peratus ke atas kiriman wang ke luar negara mulai 2026. Kerajaan Mexico telah mengumumkan program khas untuk membayar balik cukai ke atas kiriman wang tunai daripada migran.
Mexico menerima US$62.5 bilion kiriman wang pada 2024 daripada kira-kira lapan juta rakyatnya yang tinggal di AS, menurut data rasmi.
Pakar memberi amaran bahawa kos lebih tinggi boleh mendorong migran tanpa dokumen menggunakan saluran tidak formal untuk menghantar wang, sekali gus berpotensi meningkatkan pasaran tidak rasmi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami