Skip to main content
Advertisement

Dunia

Presiden Palestin Mahmoud Abbas sertai mesyuarat peringkat tinggi New York

51766459961_MahmoudAbbas.jpg
Abbas berkata, mesyuarat itu berlangsung genap setahun selepas persidangan antarabangsa yang dipengerusikan bersama oleh Arab Saudi dan Perancis serta penerimaan Deklarasi New York. - Gambar fail
Advertisement

NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyertai satu mesyuarat peringkat tinggi atas jemputan Arab Saudi, Perancis, United Kingdom dan Kanada, dengan penyertaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa pemimpin dunia, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Mesyuarat itu diadakan di luar acara segmen peringkat tinggi sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB dengan tema, "Laluan ke Hadapan: Setahun Selepas Deklarasi New York dan Pelan Damai Komprehensif 20 Perkara."

Abbas menyampaikan ucapan bagi pihak Palestin menerusi pautan video, sambil menzahirkan penghargaan kepada pemimpin negara yang mengundang beliau ke mesyuarat itu.

Beliau memuji usaha berterusan mereka untuk memajukan penyelesaian dua negara, serta menyoroti keputusan bersejarah mereka, bersama beberapa negara lain, untuk mengiktiraf Palestin secara rasmi, menjadikan jumlah keseluruhan negara yang mengiktiraf Palestin secara rasmi kini mencecah 160 negara.

Presiden itu turut menyampaikan penghargaan kepada para pemimpin dan ketua delegasi dari rantau ini serta seluruh dunia yang menyertai mesyuarat itu, atas sokongan padu mereka terhadap hak-hak rakyat Palestin serta usaha gigih mereka dalam memajukan keamanan yang adil dan menyeluruh.

Katanya mesyuarat itu berlangsung genap setahun selepas persidangan antarabangsa yang dipengerusikan bersama oleh Arab Saudi dan Perancis serta penerimaan Deklarasi New York.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa perkembangan itu menyusuli pelancaran pelan damai Presiden Trump dan penerimaan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2803, sambil menegaskan bahawa langkah-langkah berkenaan telah menetapkan hala tuju yang jelas ke arah menamatkan perang terhadap rakyat Palestin di Gaza, memastikan pengunduran penuh Israel, memajukan usaha pembinaan semula, serta membuka ruang penyelesaian politik yang membawa kepada penamatan pendudukan dan pewujudan negara Palestin yang merdeka.

Abbas mengesahkan bahawa Palestin telah menyelesaikan program pembaharuan nasionalnya, yang merangkumi penyatuan sistem kebajikan sosial, pemajuan pendidikan selaras dengan piawaian UNESCO, serta kejayaan pelaksanaan pilihan raya tempatan.

Presiden turut memaklumkan bahawa 28 Nov telah ditetapkan sebagai tarikh pilihan raya perundangan, yang akan disusuli dengan persidangan Majlis Kebangsaan Palestin dan pilihan raya presiden; langkah-langkah itu akan memperkukuh lagi perpaduan rakyat, wilayah dan sistem politik Palestin.

Dalam ucapannya, Presiden Mahmoud Abbas menegaskan bahawa usaha mewujudkan negara Palestin dan mempertahankan penyelesaian dua negara, berlandaskan legitimasi antarabangsa, memerlukan campur tangan antarabangsa yang tegas bagi mencegah usaha melemahkan negara Palestin serta menangani tindakan unilateral yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Ia juga merangkumi penghentian perluasan penempatan haram, tindakan pengilhakkan wilayah dan keganasan oleh peneroka haram, serta menghentikan pelan E1, mencegah pengusiran penduduk, selain memastikan pembebasan dana Palestin yang ditahan, yang jumlahnya telah melebihi US$6 bilion.

Sebagai penutup, Presiden itu menegaskan bahawa rakyat Palestin mendambakan keamanan yang berteraskan legitimasi antarabangsa, sambil mengisytiharkan: "Marilah kita jadikan tahun mendatang, tahun terakhir fasa peralihan ini, sebagai tahun untuk menamatkan pendudukan, mewujudkan negara Palestin, serta mencapai keamanan dan keselamatan serantau dengan cara yang menjamin kedaulatan negara dan hak rakyatnya, demi membawa kestabilan dan kemakmuran bersama untuk semua."

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video

Advertisement