ISTANBUL: Presiden Palestin Mahmoud Abbas memulakan lawatan negara empat hari ke China pada Selasa.

Abbas dalam lawatan rasmi kelimanya ke China, berada di Beijing atas jemputan Presiden China Xi Jinping, kata jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying.

Beliau adalah pemimpin negara Arab pertama diraikan oleh Xi tahun ini sempena jalinan hubungan diplomatik ke-35 China dan Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Beijing menyifatkan Abbas sebagai "rakan lama dan baik kepada penduduk China."

Xi yang kali terakhir bertemu Abbas di Riyadh pada Disember lepas sempena sidang kemuncak pertama Kerjasama Majlis Teluk-China, berkata: "persahabatan China-Palestin sangat dihargai oleh rakyat masing-masing."

Minggu lepas, jurucakap Kementerian Luar China,Wang Wenbin, memberitahu wartawan bahawa persoalan Palestin adalah inti isu Asia Barat kepada keamanan dan kestabilan rantau ini serta ekuiti dan keadilan global.

Wang berkata China selama ini menyokong teguh perjuangan rakyat Palestin untuk memulihkan negara mereka yang sah.

-- BERNAMA