Skip to main content

Dunia

Presiden Poland veto rang undang-undang hak pelajar, maritim

Sumber: BERNAMA
Presiden Poland, Karol Nawrocki memveto dua rang undang-undang yang disokong kerajaan, termasuk cadangan mewujudkan ombudsman hak pelajar sekolah dan undang-undang berkaitan pengangkutan maritim. - Gambar Bernama
Advertisement

WARSAW: Presiden Poland, Karol Nawrocki pada Khamis memveto dua rang undang-undang yang disokong kerajaan, termasuk cadangan mewujudkan ombudsman hak pelajar sekolah dan undang-undang berkaitan pengangkutan maritim.

Nawrocki menyifatkan rang undang-undang hak pelajar itu sebagai “berunsur ideologi”, manakala undang-undang pengangkutan maritim pula didakwa akan melaksanakan sebahagian unsur Perjanjian Hijau Kesatuan Eropah (EU), lapor Anadolu Ajansi.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Nawrocki berkata, kewujudan ombudsman hak pelajar hanya akan menambah birokrasi dan mempolitikkan sistem pendidikan Poland, bukan memperkukuh perlindungan terhadap murid.

Beliau menulis di platform media sosial X bahawa undang-undang itu bukan bertujuan melindungi hak pelajar, sebaliknya akan mewujudkan “pejabat pendakwa raya sekolah bagi mengejar aduan tanpa nama”.

Menurut Nawrocki, keadaan itu boleh membuka ruang kepada pengaruh ideologi di sekolah.

Veto berkenaan merupakan satu lagi tamparan kepada gabungan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Donald Tusk, yang tidak mempunyai majoriti tiga perlima di Parlimen untuk mengatasi veto Presiden.

Sejak memegang jawatan pada 2025, Nawrocki memberi isyarat bahawa beliau akan menggunakan kuasa perlembagaannya untuk menyekat undang-undang yang dianggap bercanggah dengan agenda politik konservatifnya.

Rang undang-undang hak pelajar itu pada asalnya bertujuan mewujudkan ombudsman di peringkat wilayah dan nasional bagi membantu melindungi hak murid.

Ia juga bertujuan menyediakan mekanisme bebas untuk mengendalikan aduan dalam sistem pendidikan.

Penyokong rang undang-undang itu berkata ia akan memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap pelajar, manakala para penentang pula berpendapat ia hanya akan menambah birokrasi dan meningkatkan pengaruh ideologi di sekolah.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement