TAIZ: Kepimpinan Yaman pada Ahad mengumumkan pelancaran operasi ketenteraan baharu bagi merampas semula semua wilayah yang masih dikuasai kumpulan Houthi, ketika kumpulan itu terus mencatat kemajuan di medan perang sehingga berjaya hampir mengepung sebuah bandar yang dikuasai kerajaan.
Pengumuman itu mencerminkan sasaran besar kerajaan Yaman yang berdepan tekanan selepas kehilangan kawasan luas di pesisir Laut Merah serta wilayah sekitar Selat Bab al-Mandab, laluan strategik perdagangan maritim antarabangsa, susulan serangan pantas dilancarkan Houthi yang disokong Iran.
Kerajaan Yaman setakat ini bergelut untuk mengekang kemaraan kumpulan itu walaupun mendapat sokongan ketenteraan Arab Saudi.
Pada Ahad, Houthi sekali lagi mendakwa melancarkan serangan terhadap infrastruktur minyak di Riyadh.
Ketua Majlis Kepimpinan Presiden Yaman, Rashad al-Alimi berkata, operasi berkenaan bertujuan mengembalikan sepenuhnya kuasa kerajaan ke seluruh negara.
“Hari ini saya mengumumkan permulaan operasi ketenteraan untuk membebaskan baki wilayah republik dan memperluaskan kuasa negara serta institusinya ke seluruh wilayah kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengarahkan semua pasukan bersenjata melaksanakan tugas masing-masing berdasarkan pelan yang telah diluluskan sehingga negara itu dibebaskan daripada cengkaman militan Houthi.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas Houthi berjaya memutuskan laluan bekalan penting yang menghubungkan bandar Taiz dengan Aden, ibu kota sementara kerajaan Yaman, menurut beberapa sumber keselamatan.
Kemaraan itu berlaku selepas beberapa hari pertempuran sengit di sekitar Taiz.
Menurut sumber polis tempatan, Houthi berjaya menguasai kawasan al-Safiya, memotong jalan utama dan mengambil alih sebuah balai polis.
Tiga sumber tentera kerajaan turut mengesahkan kumpulan itu kini menguasai kawasan berkenaan serta laluan bekalan utama, menyebabkan pergerakan di jalan tersebut terhenti dan Taiz hampir dikepung sepenuhnya.
Pertempuran di kawasan itu dilaporkan masih berterusan.
Sumber daripada kedua-dua pihak memaklumkan, lebih 70 individu terbunuh dalam tempoh 24 jam akibat pertempuran di wilayah Taiz.
Menurut kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa, seramai 34 anggota tenteranya terbunuh termasuk 20 orang di sempadan wilayah Lahj.
Sementara itu, sumber tentera Houthi mendakwa, 39 pejuangnya terkorban dalam pertempuran di Taiz dan kawasan sempadan Lahj.
Walaupun bandar Taiz masih berada di bawah kawalan kerajaan, ia sejak sekian lama dikepung dari arah utara, timur dan barat oleh pejuang Houthi, menjadikannya antara medan utama dalam perang saudara Yaman yang berlarutan.
Penganalisis dari badan pemikir Chatham House, Farea Al-Muslimi berkata, objektif utama Houthi ketika ini adalah mengasingkan Taiz daripada Aden.
“Mereka telah mencapai objektif ketenteraan untuk memisahkan Taiz daripada Aden walaupun belum menguasainya sepenuhnya,” katanya.
Beliau bagaimanapun meragui keberkesanan operasi balas kerajaan yang diumumkan Alimi.
“Pada pandangan saya, ia tidak membawa banyak makna,” katanya.
Namun, penduduk Taiz berikrar akan mempertahankan bandar itu daripada sebarang cubaan kemaraan Houthi.
“Kami akan menewaskan sesiapa sahaja yang memasuki bandar Taiz. Kami tidak akan meninggalkan Taiz,” kata seorang penduduk, Zakaria Al-Dhubhani.
Serangan rentas sempadan
Selepas beberapa tahun keadaan relatif tenang, perang saudara Yaman kembali memuncak sejak Julai lalu dalam konteks ketegangan lebih luas di Asia Barat.
Konflik itu turut melibatkan Arab Saudi yang mengetuai pakatan tentera anti-Houthi sejak 2015.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Houthi kerap mendakwa melancarkan serangan ke atas wilayah Saudi selain mengisytiharkan sekatan terhadap kapal negara itu di Laut Merah.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, kumpulan itu melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron terhadap fasiliti syarikat tenaga Aramco di Riyadh serta kawasan pengeluaran minyak Khurais di timur Arab Saudi.
Menurutnya, serangan itu berjaya mencetuskan kebakaran besar di lokasi yang disasarkan.
Dalam perkembangan berkaitan, saluran televisyen Al-Masirah milik Houthi melaporkan, serangan udara Saudi di wilayah utara al-Jawf dan Saada pada Ahad menyebabkan sekurang-kurangnya dua individu cedera.
Serangan itu berlaku sehari selepas kerajaan Yaman memaklumkan, tenteranya melancarkan serangan terhadap sasaran Houthi di beberapa lokasi termasuk ibu kota Sanaa, wilayah Saada dan kedudukan kumpulan itu berhampiran Taiz.
Bagaimanapun, keupayaan udara kerajaan Yaman adalah terhad dan pakatan diketuai Arab Saudi masih menjadi kekuatan utama yang menjalankan operasi serangan udara terhadap Houthi.
Yaman kekal antara negara termiskin di dunia dan terus berdepan krisis kemanusiaan yang serius sejak perang saudara tercetus pada 2014.
Pada tahun itu, Houthi menawan ibu negara Sanaa daripada kerajaan yang disokong Arab Saudi sebelum menguasai sebahagian besar wilayah utara negara itu.
Pakatan tentera antarabangsa yang diketuai Riyadh kemudian campur tangan pada tahun berikutnya bagi menyokong kerajaan Yaman. - Agensi