BEIJING:Program vaksinasi terhadap kumpulan pertama diteruskan di Beijing, China pada Ahad dalam masa sama, bandar itu juga mencatatkan peningkatan kes baharu positif COVID-19 secara drastik.

Memetik laporan tempatan, kumpulan pertama itu terdiri daripada pekerja di pelabuhan yang mengendalikan barangan import sejuk beku termasuk mereka yang bekerja dalam industri pengangkutan, pasar raya makanan basah dan pekerja di pusat kuarantin.

Dalam pemantaun di pusat vaksinasi, orang ramai dilihat beratur sambil mematuhi penjarakan fizikal dan SOP lain yang ditetapkan sebelum menerima suntikan.

Selepas menerima suntikan tersebut, mereka perlu menunggu selama 30 minit dalam bilik pemerhatian sekiranya terdapat kesan sampingan yang teruk.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Beijing, setakat Ahad, 220 pusat vaksinasi dibangunkan dengan 73,537 rakyat di bandar itu sudah menerima suntikan.

Difahakamkan, pusingan pertama program vaksinasi ini dijangka akan selesai menjelang sambutan Tahun Baharu China pada 12 Februari nanti.

Sebelum ini China meluluskan vaksin yang dihasilkan syarikat tempatan, Sinopharm.

Ia merupakan vaksin tempatan pertama yang diluluskan.

China melaporkan 11 kes penularan tempatan pada Ahad, lima di Liaoning, empat di Heilongjiang, satu masing-masing di Beijing dan Hebei.