SADAO: Perdana Menteri berpendapat, cadangan Thailand untuk membangunkan projek jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Pasifik dan Hindi yang memintas Selat Melaka akan turut memberi manfaat kepada Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin telah memberi komitmen bahawa Malaysia akan turut dilibatkan dalam pelaksanaan projek itu.

Begitupun, Anwar menegaskan masih terlalu awal untuk Malaysia membuat keputusan untuk menyertai projek itu atau mendapatkan ekuiti dalam rancangan pembinaan projek berkenaan.

“Berkenaan land bridge itu, masih di peringkat awal tetapi saya dalam perbincangan itu, memang (dimaklumkan) akan dilibatkan Malaysia, dan sudah tentu akan memberi manfaat kepada Malaysia terutamanya sebelah utara Semenanjung.

“Jadi bagi kita, akan ada faedah dan kita akan manfaatkan kemudahannya di situ. Cuma cara terperincinya samada kita menyertai atau tidak aktiviti itu masih terlalu awal untuk kita bincangkan.

“Begitupun, berdasarkan semangat perbincangan itu, Perdana Menteri Thailand kata, mereka akan pastikan Malaysia dapat manfaat,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia bersama Perdana Menteri Thailand, pada Isnin.

Untuk rekod, Projek Landbridge atau jambatan darat berkenaan dianggarkan menelan kos kira-kira 1 trilion baht (AS$28 bilion).

Ia membabitkan pembinaan pelabuhan laut di kedua-dua bahagian semenanjung selatan Thailand, dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya dan kereta api yang komprehensif.

Laluan sepanjang 100 kilometer itu akan berfungsi sebagai alternatif kepada cadangan untuk membina terusan melalui Segenting Kra.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan telah menyatakan hasrat kepada kerajaan Thailand  bagi meneruskan rancangan pembinaan baharu baharu Rantau Panjang menyeberang Sungai Golok yang belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya, Malaysia sudah bersedia dan hanya menunggu jawapan daripada kerajaan Thailand.

“Kita sudah bersedia dan hanya tunggu respond daripada Thailand untuk beri keputusan atau jawapan.

“Jika mereka bersetuju. ia akan dilaksanakan selewatnya tahun depan, yang mana ia kini hanya menunggu untuk urusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dan berikutnya akan disegerakan pembinaan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok.

“Saya juga akan maklumkan kemajuan ini kepada Menteri Besar Kelantan supaya dapat membantu mempercepatkan proses ini,” ujarnya.