STOCKHOLM: Protes menentang penyertaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Stockholm serta isu membakar salinan al-Quran meningkatkan ketegangan secara mendadak antara Turkiye dan Sweden.

Menurut Kementerian Luar Turkiye, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji terhadap kitab suci serta membenarkan tindakan anti-Islam, menghina nilai-nilai suci Islam dan berselindung dalam kebebasan bersuara.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang ahli politik anti-pendatang dari sayap kanan Sweden membakar salinan al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye.

Kementerian Turkiye menggesa Sweden untuk mengambil tindakan yang perlu terhadap pelaku dan menjemput semua negara untuk mengambil langkah konkrit menentang Islamofobia.

Sementara itu, bantahan berasingan berlangsung di bandar yang menyokong Kurd dan menentang usaha Sweden untuk menyertai NATO.

Sekumpulan penunjuk perasaan pro-Turkiye turut mengadakan perhimpunan di luar kedutaan.

Ketegangan | Protes & insiden bakar Al-Quran, undang kecaman Turkiye

Menteri Luar Sweden Tobias Billstrom berkata, povokasi Islamofobia adalah mengerikan.

Pembakaran al-Quran dilakukan oleh Rasmus Paludan, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line yang juga mempunyai kewarganegaraan Sweden.

Paludan mengatakan bantahannya diadakan terhadap Islam dan apa yang disebut sebagai percubaan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan untuk mempengaruhi kebebasan bersuara di Sweden.

Beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi, Jordan dan Kuwait mengecam tindakan itu.

Sweden dan Finland memohon untuk menyertai NATO berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tetapi kesemua 30 negara anggota mesti meluluskan bidaan mereka.

Turkiye meletakkan syarat, Sweden perlu menyatakan pandangan jelas mengenai definisi pengganas, terutamanya militan Kurdish dan kumpulan yang dipersalahkan untuk cubaan rampasan kuasa pada tahun 2016.

Dalam pada itu, di Istanbul, orang ramai dalam sekumpulan kira-kira 200 penunjuk perasaan membakar bendera Sweden di hadapan konsulat Sweden sebagai tindak balas kepada pembakaran al-Quran.