JERUSALEM: Perhimpunan besar-besaran tercetus di seluruh Israel pada Isnin selepas Ahli Parlimen meluluskan undang-undang pertama yang mengehadkan kuasa Mahkamah Agung, satu langkah penting dalam rancangan kontroversi kerajaan sayap kanan untuk merombak sistem kehakiman negara itu, lapor Xinhua.

Undang-undang itu diluluskan dengan 64 menyokong, tanpa undi veto di Parlimen yang mempunyai 120 kerusi, dengan Ahli Parlimen pembangkang memboikot undian terakhir.

Undang-undang itu membatalkan kuasa Mahkamah Agung untuk menolak keputusan kerajaan yang dianggap "tidak munasabah." Ia merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk melemahkan Mahkamah Agung dan menyusun semula sistem kehakiman.

Penunjuk perasaan menyekat lebuh raya utama di Baitulmaqdis, Tel Aviv, Haifa dan bandar-bandar lain di seluruh negara.

Polis bertempur dengan penunjuk perasaan dan menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka.

Di Baitulmaqdis, polis juga menggunakan "Skunk," sebuah kenderaan yang mengeluarkan cecair berbau busuk bagi menyuraikan penunjuk perasaan. Sekurang-kurangnya 34 penunjuk perasaan ditahan sejak pagi Isnin, menurut polis.

Persatuan Peguam Israel dan organisasi serta individu lain memfailkan sekurang-kurangnya empat petisyen meminta Mahkamah Agung membatalkan undang-undang itu.

White House dalam satu kenyataan memaklumkan "malangnya pengundian hari ini berlaku dengan majoriti yang paling tipis."

Dalam satu kenyataan di televisyen, Netanyahu berkata undang-undang baharu itu "perlu" untuk membolehkan kerajaan "memerintah" dan mewujudkan "perpaduan."

Rombakan kehakiman telah mencetuskan bantahan di seluruh negara yang berlangsung selama 29 minggu berturut-turut.

Ratusan ribu rakyat Israel turun ke jalan untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan kerajaan untuk merombak sistem kehakiman.

Lebih 11,000 pasukan simpanan tentera, termasuk juruterbang, mengumumkan mereka akan meletakkan jawatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa kesiapsiagaan tentera akan terjejas.

Netanyahu, 73, pemimpin paling lama berkhidmat di Israel, kembali memegang jawatan pada akhir Disember sebagai ketua kerajaan campuran yang menjadikan rombakan kehakiman sebagai agenda penting.

-- BERNAMA