KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa sejumlah wang RM8 juta dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat 30 Maple Sdn Bhd menerusi dua transaksi daripada akaun bank FashionValet Sdn Bhd, lapan tahun lepas.
Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail, Azizan Hassan, 45, berkata semakan terhadap penyata akaun bank milik syarikat 30 Maple mendapati kemasukan wang masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM3 juta daripada akaun bank milik FashionValet dibuat secara dalam talian.
"Pada 21 Ogos 2018 terdapat satu transaksi kemasukan wang berjumlah RM5 juta dengan deskripsi REMITTANCE CR/ROC/PB ECP PAYMENT FASHIONVALET SDN BHD PB ECP PAYMENT FASHION VALET SDN BHD ADVANCES TO 30 MAPLE daripada FashionValet Sdn Bhd. Saya juga sahkan baki (akaun 30 Maple) sebelum kemasukan wang adalah RM2,678,853.48.
"Pada tarikh sama (21 Ogos), telah berlaku satu lagi transaksi kemasukan wang sebanyak RM3 juta dengan deskripsi serupa daripada FashionValet. Saya juga sahkan baki sebelum kemasukan wang berjumlah RM3 juta adalah RM7,678,853.48," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Saksi pendakwaan pertama itu berkata semakan pada penyata bank 30 Maple bagi Sept 2018, terdapat transaksi pengeluaran wang daripada akaun syarikat itu berjumlah RM10,213,537.28 pada 3 Sept 2018.
"Terdapat transaksi kemasukan wang RM5 juta pada tarikh sama (3 Sept 2018) dan transaksi pengeluaran wang berjumlah RM5 juta pada 4 Sept 2018 dengan deskripsi 'Interim Dividend FADZARUDIN SHAH',” kata Azizan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah.
Azizan turut mengesahkan bahawa penandatangan bagi pihak 30 Maple ialah Vivy dan Fadzarudin Shah yang merupakan pengarah syarikat terbabit.
Terdahulu, peguam Datuk M. Athimulan mewakili pasangan suami isteri itu memaklumkan kepada Hakim Rosli Ahmad bahawa beliau memohon untuk menyoal balas saksi terbabit Jumaat ini kerana beliau masih dalam tempoh cuti sakit hingga Rabu ini dan mahkamah membenarkan permohonan itu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik FashionValet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.
Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA