KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM1.32 juta menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dengan penahanan dua lelaki tempatan dalam dua kes berasingan pada 9 Julai lepas.
Pengarah Kastam Sarawak Datuk Norizan Yahya berkata dalam kes pertama pada 9.10 malam, sepasukan pegawai Cawangan Narkotik JKDM menahan seorang lelaki tempatan yang tiba di KIA menaiki penerbangan dari Johor Bahru.
Beliau berkata suspek bertindak mencurigakan apabila menanggalkan tag bagasi sebelum membawa bagasinya ke tandas berhampiran ruang ketibaan, dipercayai bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa serta menyukarkan pengesanan pemilik bagasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi itu menemukan 13 bungkusan teh cina disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat 13.2 kilogram (kg) dan nilai dianggarkan RM660,000,” katanya pada sidang media mengenai kes tersebut di sini, hari ini.
Beliau berkata kira-kira 10 minit kemudian, seorang lagi lelaki tempatan turut ditahan selepas didapati menggunakan modus operandi sama dengan menanggalkan tag bagasi bagi mengelakkan dirinya dikesan sebagai pemilik bagasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemukan 13 bungkusan teh cina disyaki mengandungi methamphetamine seberat 13.2 kg serta satu bungkusan berwarna merah mengandungi 83 biji Pil Erimin 5 dengan nilai keseluruhan rampasan RM660,560,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kes mempunyai kaitan dan suspek dipercayai diupah RM1,000 bagi setiap kilogram dadah yang berjaya diseludup.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati boleh dikenakan maksimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA