OUAGADOUGOU: Berpuluh-puluh orang terbunuh dalam serangan di sebuah masjid pada hari yang sama ketika sebuah gereja diserang, kata pihak berkuasa di Burkina Faso.

Kejadian berlaku semasa solat Subuh apabila lelaki bersenjata mengepung masjid di bandar Natiaboani.

“Mangsa semuanya beragama Islam, kebanyakannya lelaki,” kata seorang penduduk tempatan kepada agensi berita AFP.

Lebih satu pertiga daripada Burkina Faso kini berada di bawah kawalan pemberontak.

Angka kematian akibat serangan di masjid berkenaan mungkin lebih tinggi daripada jumlah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Bandar Natiaboani, di mana serangan itu berlaku terletak di wilayah timur Burkina Faso yang bermasalah berikutan kumpulan bersenjata aktif menjalankan operasi.

Pada hari yang sama, sekurang-kurangnya 15 penganut Katolik terbunuh dalam serangan ke atas gereja di Essakane di timur laut negara itu.

Ahad lalu, 15 orang terbunuh dan dua lagi cedera berikutan serangan ke atas sebuah gereja Katolik di timur laut Burkina Faso.

Kejadian berlaku semasa penganut agama itu sedang melakukan ibadah di kampung Essakane di wilayah Oudalan - berhampiran sempadan Mali.

Seorang pegawai gereja menunjukkan serangan itu dilakukan oleh seorang lelaki bersenjata.

Tiada kaitan secara rasmi dibuat antara kedua-dua serangan itu, tetapi akhbar milik persendirian Burkina Faso L'Observateur Paalga telah mempersoalkan sama ada ia adalah sebahagian daripada plot yang dirancang.

Serangan terhadap tokoh agama bukan perkara luar biasa di Burkina Faso.

Seorang paderi yang diculik dari bandar utara Djibo lima tahun lalu masih hilang.

Pada 2021 pula, imam utama bandar Djibo yang sama telah diculik oleh lelaki bersenjata dan ditemui mati beberapa hari kemudian.

Petugas bantuan kemanusian berkata, Burkina Faso merupakan antara krisis yang paling diabaikan di dunia.

Burkina Faso sudah tidak aman sejak bertahun-tahun lamanya sehingga menyebabkan lebih dua juta orang meninggalkan rumah mereka.

Dalam masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan pertumbuhan satu perempat daripada semua kanak-kanak di bawah lima tahun terbantut akibat kelaparan.

Tentera yang merampas kuasa dua tahun lalu berjanji untuk memenangi pertempuran menentang pemberontak, namun bertukar kepada keganasan berterusan. - Agensi