Dianggarkan 9.9 juta rakyat Greece hari ini akan membuat keputusan sama ada menyokong atau menentang pakej bantuan yang ditawarkan oleh peminjam kepada negara berkenaan yang kini diambang keruntuhan ekonomi.

Petugas proses pungutan suara sedang berhempas pulas di saat-saat akhir bagi memastikan kemudahan di semua pusat-pusat pengundian mencukupi bagi tujuan itu.

Helikopter tentera dan bukannya bot digunakan untuk mengedarkan kertas undi di kawasan terpencil.

Pengundian dijalankan bermula 7 pagi hingga 7 malam waktu tempatan atau 12 tengah hari hingga dua belas malam waktu Malaysia.

Kali terakhir Greece mengadakan pungutan suara ialah pada 1974 ketika ia menjadi sebuah republik.

Tinjauan pendapat awal mendapati rakyat berbelah bahagi dalam memberi pilihan mereka.

Keputusan "ya" atau "tidak" dijangka diketahui lewat malam nanti.

Bagaimanapun, sebarang keputusan dalam pungutan suara Greece ini akan memberi kesan kepada naik turun pasaran pada Isnin termasuk Bursa Malaysia.