Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, akui tidak akan menghantar ibunya ke pusat jagaan warga emas susulan peningkatan kes COVID-19 di wilayah itu.

Pada Selasa, Victoria merekodkan 384 kes baharu dengan enam kematian.

Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding Isnin yang merekodkan lebih 500 kes.

Susulan peningkatan itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menyuarakan kebimbangan terutamanya terhadap golongan warga emas di wilayah itu.

"Keadaan sangat membimbangkan ketika ini terutamanya terhadap keadaan warga emas di Victoria.

"Kita mempunyai 80 pusat jagaan daripada 430 di Victoria yang merekodkan kes positif sebelum ini. Tidak semua dalam keadaan kritikal, tetapi terdapat beberapa kes yang kritikal," jelasnya.

Ketika ini wilayah tersebut tidak akan meneruskan pembedahan yang tidak memerlukan agar pasukan perubatan di hospital boleh dipinjamkan ke rumah jagaan warga emas bagi memantau keadaan golongan ini.

Andrews turut memaklumkan golongan ini akan dipindahkan ke hospital jika tidak menerima bantuan perubatan yang mencukupi.

Untuk rekod, kebanyakan kes kematian yang direkodkan di Victoria adalah dalam kalangan warga emas.